KUALA LUMPUR: Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) cawangan Utusan Melayu (M) Bhd tidak tahu menahu mengenai laporan bahawa akhbar Utusan Malaysia akan membuat kemunculan semula tahun depan.

Pengerusinya Mohd Taufek Razak berkata berdasarkan maklumat terkini yang diperolehinya, pihak pengurusan sedang berusaha untuk mencairkan aset milik syarikat itu, dan bekas para pekerjanya masih menunggu wang pampasan seperti yang dijanjikan.

“Tidak terima langsung maklumat mengenai Utusan akan kembali pada tahun depan. Kami masih menanti dalam kesamaran,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Ahad.

Beberapa media tempatan pada Ahad melaporkan Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Redzuan Yusof memaklumkan, akhbar Utusan Malaysia akan membuat kemunculan semula tahun depan.

BACA: Utusan tutup operasi hari ini

BACA: Laman web Utusan Malaysia, Kosmo! kini tidak boleh diakses

Menurut laporan itu Redzuan memberitahu perkara berkenaan di sebuah program di Tenggayun, Johor pada Sabtu semasa berkempen untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) di Tanjung Piai.

Akhbar bahasa Melayu tertua negara itu dan satu lagi akhbar terbitan syarikat berkenaan iaitu Kosmo! menghentikan operasinya sejak 9 Okt lalu, berikutan masalah kewangan.

— BERNAMA





Source link