[ad_1]

ALOR SETAR: Susulan daripada pendedahan Astro AWANI berkaitan berlaku kenaikan harga ayam di Kedah pagi tadi, tujuh notis dikeluarkan kepada peniaga yang telah didapati menaikkan harga ayam dengan sengaja.

Menurut Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid, tindakan tegas perlu diambil ke atas peniaga terbabit kerana setakat ini harga ayam masih belum ditetapkan harga siling.

Katanya susulan pendedahan itu, KPDNHEP telah menyiasat untuk mendapatkan punca kenaikan di semua peringkat.

Peniaga terbabit dikenakan tindakan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (notis pengesahan maklumat barangan dan perkhidmatan).

“Saya dapat laporan sehingga RM9.90 sekilo (ayam segar) di Kedah. Maklumat yang diterima sehingga RM9.20 sekilo. Kenaikan yang pada saya tidak wajar, (kenaikan harga) yang mungkin kesempatan diambil oleh peniaga-peniaga menjelang hari raya.

“Seperti yang kita tahu menjelang raya ni permintaan terhadap ayam meningkat dan kerajaan akan buat harga maksima. Jadi sebelum kerajaan buat harga maksima, mereka ambil keuntungan awal.

“Di Kedah sehingga hari ini mereka (KPDNHEP) telah hantar tujuh notis kepada peniaga-peniaga yang tidak bertanggungjawab. Diharap dapat jadi pengajaran kepada peniaga-peniaga lain,” kata Rosol ketika ditemui di sini, pada Sabtu.

Beliau sebelum itu mengadakan lawatan Ke Kompleks Pekan Rabu, Alor Setar.

KPNHEP juga, tegas Rosol, akan melakukan pemantauan di peringkat peruncit dan pemborong serta penternak ayam di sekitar negeri ini.

Pada pagi Sabtu, wakil Astro AWANI di Kedah mendedahkan rungutan daripada peniaga dan pengguna berhubung kenaikan harga ayam segar antara RM8 ke RM9.50 sekilogram.

BACA: Harga ayam naik di Alor Setar, pembekal dakwa tiada bekalan



[ad_2]
Source link