[ad_1]

ALOR SETAR: Seorang peniaga buah di Kepala Batas, Alor Setar tidak mahu perintah kawalan pergerakan (PKP) akibat COVID-19 menjadi alasan untuknya berdiam diri.  

Melihat peluang baharu yang terbuka, wang Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang diperolehnya dijadikan modal tambahan untuk berniaga buah secara dalam talian.

Muhammad Azizi Azizan, 29, memanfaatkan bantuan kerajaan itu untuk dijadikan modal tambahan berniaga buah dari rumah ke rumah sepanjang tempoh PKP.

Menurut Azizi, pada permulaan PKP fasa pertama, dia tekad untuk berniaga dari rumahnya di Kepala Batas menggunakan platform media sosial Whatsapp dan Facebook.

Setiap hari dia akan mengambil tempahan daripada pelanggan dan menghantar sendiri buah-buahan ke rumah pelanggan.

Antara buah-buahan yang dijual ialah durian, tembikai, mempelam, buah naga, limau dan anggur.

“Ada sesetengah orang kata PKP ini menutup periuk nasi, tapi bagi saya setakat ini cukup bersyukur kepada Allah diberikan rezeki sepanjang PKP ini,” kata Azizi.

Tambahnya, pelanggan yang membuat pembelian RM20 ke atas tidak dikenakan kos penghantaran.

Memasuki fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula hari ini, Azizi masih mematuhi jarak ditetapkan kerajaan supaya tidak melebihi jarak 10 kilometer yang ditetapkan.

Kisah Azizi merupakan antara cabaran dan juga normal baharu para peniaga lain pasca COVID-19.



[ad_2]
Source link