KUALA LUMPUR: Isu vape terus menjadi bualan hangat, meskipun kerajaan ketika ini sedang melakukan kajian berkaitan regulasi penggunaan rokok elektronik itu.

Ramai pengusaha rokok elektronik dan cecair e-rokok menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan kerajaan jika proses perundangan tersebut perlu dilaksanakan.

Nada yang sama dikeluarkan pengeluar rokok elektronik tempatan Ncig Malaysia Sdn Bhd yang diiktiraf dunia akan kejayaannya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Shariffudin Bujang berkata, pihaknya sentiasa bersedia jika kerajaan meregulasi penggunaan vape dan cecair nikotin di Malaysia.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media di sini pada Sabtu, selepas merasmikan Nsummit 2.

Pada masa yang sama, syarikat itu membuat keputusan drastik apabila mengumumkan operasi Ncig di negara ini akan dihentikan dalam tempoh tiga bulan akan datang.

Jelas Shariffudin, keputusan itu dibuat bagi menumpukan kepada pasaran luar negara terutama di Eropah dan United Kingdom selepas industri e-rokok atau vape tidak diregulasi lagi di negara ini.

“Desakan, ataupun banyak kekangan, untuk kami meneruskan operasi di Malaysia. Kalau kami meletakkan usaha yang sama di negara luar, kami rasa kami akan mampu membantu ramai orang.

“Di Malaysia, nikotin tidak ada regulasi dalam bentuk vape dan undang-undang itu masih lagi dibentuk dan akan dibincangkan di Parlimen bulan Mac tahun depan.”

Keputusan itu, katanya, akan menjejaskan 700 tenaga kerja di negara ini. 

Pasaran Malaysia menyumbang 30 peratus kepada pasaran produk Ncig dan Nasty manakala 70 peratus pasaran utamanya ialah di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Eropah.

“Jika kerajaan sedia untuk regulasi produk bernikotin, kami rasa masuk akal untuk kami teruskan perjuangan kami di Malaysia.

“Kalau tidak, ia tidak akan membantu perokok Malaysia berhenti merokok, dan dikhuatiri akan jadi ‘gateway’ untuk orang lain mula menghisap e-rokok dan merokok,” kata Shariffudin.

Jelasnya, sehingga kini sebanyak 100,000 tan minyak sawit tempatan digunakan dalam industri vape di Malaysia.

Mengikut rekod, nilai pasaran vape di Malaysia bernilai RM4 bilion setahun manakala nilai pasaran di peringkat global ASD19.3 bilion setahun.

Sebanyak 30,000 peluang pekerjaan dilaporkan berjaya diwujudkan melalui industri itu di negara ini.

Malaysia ketika ini berada di tempat kedua pengeluar vape terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat.

Mengenai regulasi pula, United Kingdom menjadi negara pertama mengawal selia penggunaan vape.

Ia diikuti Amerika Syarikat dan Indonesia, dalam proses mengenakan kawal selia terhadap produk itu.





Source link