KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak menyedari rancangan SRC International Sdn Bhd (SRC) untuk memohon pinjaman RM3.95 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).

Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri itu tidak menolak kemungkinan bahawa beliau telah dimaklumkan mengenai perkara itu sebelum menerima sepucuk surat daripada SRC pada 3 Jun 2011.

Katanya, pertemuan telah dibuat sama ada dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Shahrol Azral atau Nik Faisal Ariff Kamil dalam tempoh penubuhan SRC sehingga 3 Jun 2011.

Pertemuan tersebut, kata Najib, bagi membincangkan beberapa inisiatif daripada penubuhan SRC.

Namun, Ahli Parlimen Pekan itu tidak mengingati secara khusus inisiatif yang dicadangkan, sebaliknya, yakin ia cukup substantif sehingga beliau memberikan sokongan.

Najib berkata demikian ketika ditanya oleh peguambela, Wan Aizuddin Wan Mohammed.

Dalam masa sama, Najib turut memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan KWAP  meluluskan permohonan pinjaman SRC pada 2010 dan 2011.

Sebelum ini, SRC didakwa menerima pinjaman sebanyak RM4 bilion dari KWAP antara 2011 dan 2012.

BACA: Najib percaya “pengaruh” Jho Low boleh bantu urusan pelaburan

BACA: Najib tiada kepentingan dalam SRC, tidak terbabit transaksi RM40 juta – Shafee





Source link