[ad_1]

KUALA TERENGGANU: Seorang murid tahun satu ditemui lemas di muara Sungai Kuala Ibai, Kuala Terengganu dalam kejadian pada petang Ahad.

Mayat Fakih Abd Rahman Mohd Amran, 7 tahun, ditemui di dasar sungai pada jam 6.30 petang.

Mangsa dikatakan mandi bersama dua lagi rakannya yang juga berusia tujuh tahun kira-kira jam 5.50 petang.

Ketika mandi, mangsa bersama seorang lagi rakannya dikatakan lemas sebelum seorang daripadanya diselamatkan tukang masak sebuah restoran berhampiran tempat kejadian.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata sejurus menerima panggilan lapan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

Menurut Rozizah, mayat mangsa ditemui di dasar sungai pada jarak 20 meter daripada lokasi dia dilaporkan lemas.

“Air menurun tapi ada arus di bawahnya, arus yang laju di permukaan air. Seorang kawan dia diselamatkan oleh orang awam yang berada di sekeliling kawasan dan mangsa tidak ditemui sehinggalah kita temui pada jam 6.30 petang,” katanya kepada pemberita, di sini.

Sementara itu, seorang saksi, Muhamad Azhar Mohammad berkata ketika dia dikejutkan dengan kehadiran rakan mangsa yang meminta tolong ketika dia sedang berbual bersama rakan-rakannya.

“Masa tu saya sembang ramai-ramai, lepas tu kawan dia panggil, dia kata ada orang lemas,” katanya.

Mayat mangsa dibawa ke unit forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut.



[ad_2]
Source link