[ad_1]

KUALA LUMPUR: Majlis Sukarelawan Bencana Negara (MSBN) melancarkan Unit Sukarelawan Bencana Peringkat Negeri sebagai langkah kesiapsiagaan untuk digerakkan ke lokasi terjejas bagi membantu mangsa bencana.

Pengerusi Jawatankuasa MSBN, Datuk Zuhairi Ab Kadir berkata, usaha itu bagi menarik penyertaan badan sukarela serta orang perseorangan dalam misi bantuan atas prinsip pengurusan bencana menjadi tanggungjawab yang perlu dikongsi bersama.

“Langkah ini penting untuk menggalakkan lebih ramai sukarelawan baharu menganggotai MSBN dan mewujudkan kerjasama bersepadu melibatkan semua agensi kerajaan daripada peringkat pusat, negeri dan daerah apabila khidmat bantuan diperlukan,” katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Menurut Zuhairi, MSBN turut menganjurkan program latihan intensif bertujuan memberi pendedahan dan pengetahuan kepada pihak terlibat dalam persediaan menangani bencana untuk memastikan platform itu berfungsi dan berperanan seperti yang dimahukan.

“Kesiapsiagaan cukup penting untuk diterapkan dalam diri segenap lapisan masyarakat hari ini supaya menjadi satu budaya agar mangsa bencana mendapat perlindungan serta bantuan yang sewajarnya daripada semua pihak,” katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, bencana bukan hanya dalam ruang lingkup banjir semata-mata, tetapi skop yang luas termasuk membantu operasi mencari dan menyelamat orang hilang, kebakaran hutan, kemalangan, pesawat terhempas, bangunan runtuh, tanah runtuh dan tsunami yang memerlukan tindakan penggemblengan tenaga ekstensif.

“Selain berkhidmat kepada masyarakat, saya menekankan peranan penting Unit Sukarelawan Bencana ini dalam memberi sumbangan termasuk keperluan asas seperti makanan, pakaian, kewangan dan perubatan kepada mangsa bencana yang memerlukan.

“Bantuan perlu sampai ke tempat bencana pada kadar segera bagi meringankan beban mangsa yang bersifat sementara hingga digantikan bantuan secara berkala oleh pihak berwajib atau agensi kerajaan dalam jangka panjang,” ujarnya.

Sekretariat bagi MSBN adalah Pertubuhan Kebajikan Kemanusiaan Antarabangsa (Peka).



[ad_2]
Source link