KUALA LUMPUR: Seramai kira- 492,000 pekebun kecil sawit di seluruh negara bakal mendapat sijil di bawah Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) pada hujung tahun ini.

Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata sijil itu amat penting kepada pekebun kecil sawit agar komoditi yang dihasilkan memenuhi syarat yang ditetapkan oleh negara maju terutamanya di Eropah.

“Setakat ini, sebanyak 62,009 pekebun kecil persendirian yang memiliki 243,666 hektar tanaman sawit dan 231,576 pekebun kecil tersusun yang mengusahakan 670,010 hektar tanaman sawit telah mendapat sijil MSPO.

“Pekebun kecil tersusun amat mudah untuk mendapat MSPO memandangkan mereka berada di bawah seliaan pelbagai agensi kerajaan seperti Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) dan lain-lain.

“Bagaimanapun, bagi pekebun kecil persendirian agak sukar kerana MPOB perlu mengadakan pertemuan dan memberi penerangan kepada mereka dan ia akan dilakukan dari semasa ke semasa agar mereka juga mendapat pensijilan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Khamis.

Ahmad Jazlan sebelum ini berkata, MPOB melalui Pusat Latihan Sawit Malaysia (Plasma) mensasarkan pengambilan 400 pelajar setahun bagi mengikuti kursus-kursus dalam industri sawit yang menyediakan kemahiran untuk belia dan mereka yang berminat.

Ujarnya, Plasma yang ditubuhkan MPOB menawarkan Kursus Operasi Mekanisasi Ladang (KOML) yang memberi peluang kepada golongan belia untuk menjadi tenaga kerja terlatih di ladang.

Mengulas lanjut, Ahmad Jazlan berkata mana-mana pekebun kecil yang tidak mempunyai sijil MSPO boleh dikenakan denda dan kompaun di bawah Peraturan 15 Akta MPOB selain boleh menyebabkan lesen mereka ditarik balik.

Beliau berkata walaupun kerajaan masih belum memutuskan jumlah denda yang akan dikenakan di bawah peraturan berkenaan kepada mana-mana pekebun kecil yang masih belum mempunyai MSPO, namun peraturan berkenaan telah bermula sejak 1 Julai lepas.

Menurutnya, bermula 1 Jan, 2021, MPOB akan mula memberi peringatan kepada pekebun kecil yang masih gagal memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan sebelum kompaun dikeluarkan pada 1 Julai 2021 jika masih ingkar.

“Bermula 1 Jan, 2022 pula, sekiranya pekebun kecil masih ingkar, kita akan ambil tindakan lebih tegas termasuklah menarik lesen mereka selain memastikan kilang tidak membeli buah sawit yang dikeluarkan mereka.

“Pekebun kecil tidak perlu risau kerana kerajaan memperuntukkan sebanyak RM135 per hektar bagi menampung kos dalam usaha membantu pekebun kecil mendapatkan sijil berkenaan,” katanya.




Source link