[ad_1]

KUALA LUMPUR: Ahli Lembaga Pengarah Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) telah melantik Datuk Mohd Zarif Mohd Hashim sebagai Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu berkuat kuasa 15 Julai lepas.

MRT Corp dalam satu kenyataan memaklumkan pelantikan Mohd Zarif itu bagi menggantikan Abdul Yazid Kassim yang telah mengakhiri perkhidmatannya pada 30 Jun lalu.

Sementara itu Mohd Zarif, 49, sebelum ini merupakan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Sapura berkata fokusnya adalah memastikan projek pembinaan MRT Laluan Putrajaya (sebelum ini dikenali sebagai MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya) disiapkan tepat pada masanya dan berada dalam lingkungan kos.

Selain itu, beliau berkata tumpuannya juga adalah memastikan projek Sistem Transit Rapid Johor Bahru-Singapura dapat dimulakan dengan secepat mungkin.

Jelasnya, anak syarikat MRT Corp, Malaysia Rapid Transit System Sdn Bhd merupakan pemaju projek dan pemilik infrastruktur Projek Sistem Transit Rapid.

Mohd Zarif memegang Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari J.L. Kellogg Graduate School of Management dari Northwestern University, dan mempunyai Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Sains dalam Kejuruteraan Kimia dari University of Pennsylvania, kedua-duanya di Amerika Syarikat.

— BERNAMA



[ad_2]
Source link