[ad_1]

TINJAUAN Kebangsaan Kesihatan Dan Morbiditi 2019 (NHMS 2019) telah menyatakan bahawa penyakit kardiovaskular adalah penyebab utama kematian di Malaysia.

Contoh penyakit kardiovaskular adalah seperti angin ahmar (stroke) dan penyakit jantung.

Serangan jantung akut seperti Acute Myocardial Infarction adalah kes-kes rutin pesakit di Jabatan Kecemasan dan Trauma.

Serangan jantung akut biasanya bersama gejala sakit dada. Sering berlaku pesakit serangan jantung akut ini tiba lewat untuk rawatan kecemasan walaupun telah mengalami gejala sakit dada lebih awal.

Sakit dada ini berlaku kerana sel-sel otot jantung mengalami kekurangan oksigen (hypoxia) dan sel-sel ini mula mati (infarction).

Puncanya adalah kerana berlaku sumbatan pada salur darah koronari yang membekalkan darah dan nutrien-nutrien ke jantung.

Sumbatan ini perlu dibuka agar pengaliran darah ke jantung sempurna. Kelewatan akan menyebabkan jantung semakin lemah dan kurang efisien sehingga akhirnya berhenti mengepam darah ke seluruh anggota badan.

Ada 2 jenis rawatan definitif untuk serangan jantung akut ini:

i. Terapi fibrinolitik

ii. PCI (Percutaneous Coronary Intervention)

Kemudahan rawatan terapi fibrinolitik ini adalah pemberian ubatan cecair melalui salur darah untuk melegakan sumbatan koronari.

Contoh ubat adalah Metalyse dan Streptokinase. Berita baik adalah rawatan terapi fibrinolitik tersedia di semua hospital kerajaan, khasnya Jabatan Kecemasan dan Trauma.

PCI pula adalah prosedur yang dilakukan untuk melegakan sumbatan.

Satu kabel wayar halus akan dimasukkan melalui salur darah di tangan atau di kawasan peha (femoral) dan diarahkan ke salur koronari di jantung. Aliran koronari akan dilancarkan melalui prosedur ini.

Namun begitu hanya hospital dengan kemudahan dan kepakaran kardiologi sahaja yang mampu memberikan rawatan ini secara terus dengan segera.

Mitos sakit dada adalah penyebab pesakit lambat tiba ke hospital untuk rawatan. Mitos sakit dada inilah yang menyebabkan apabila pesakit tiba ke hospital, komplikasi serangan jantung telah berlaku.

Kepercayaan salah ini termasuklah:

i. Menidakkan dan enggan percaya diri terkena serangan jantung.

ii. Menyalahkan sakit dada ke atas perkara lain seperti letih bekerja dan kurang tidur.

iii. Membuat konklusi sakit dada disebabkan penyakit lain seperti gastrik yang tidak mengancam nyawa.

Setiap saat untuk seseorang yang terkena serangan jantung ini penting untuk sel-sel otot jantungnya.

Semakin lewat mendapatkan rawatan, semakin banyak sel-sel otot jantung mati dan semakin tipis peluang untuk mendapatkan fungsi jantung yang efisien.

Sela masa kurang daripada tiga jam, antara tiga sehingga 12 jam dan lebih 12 jam merupakan faktor yang akan menentukan pilihan rawatan untuk serangan jantung akut ini.

Semua pesakit akan mendapat rawatan asas serangan jantung seperti Glyceryl Trinitrate (GTN), Aspirin dan Clopidogrel.

Bagi pesakit yang dijangkakan serangan jantung akut itu bermula tiga jam sebelum tiba di hospital maka rawatan definitif pilihan pertama adalah terapi fibrinolitik atau PCI.

Kedua-dua rawatan ini adalah setara hasilnya untuk pesakit yang datang awal ke Jabatan Kecemasan dan Trauma di hospital.


Sumber – Clinical Practice Guideline, Academy Of Medicine Malaysia

Sumber – Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019, Institut Kesihatan Negara, Kementerian Kesihatan Malaysia.

Bagi pesakit yang tiba di hospital dalam sela masa antara tiga sehingga 12 jam daripada mula serangan jantung akut, pilihan pertama dan yang terbaik rawatan adalah PCI.

Jika hospital tiada kepakaran kardiologi maka pilihan kedua terbaik adalah terapi fibrinolitik.

Bagi pesakit yang tiba lewat melebihi 12 jam, tiada pilihan rawatan definitif kecuali PCI.

Rawatan asas serangan jantung akan diberikan segera, cuma jika pesakit berada di hospital tanpa kepakaran kardiologi akan dirujuk ke hospital lain.

Perjalanan yang jauh akan melewatkan lagi pesakit menerima rawatan definitif. Komplikasi lebih teruk dijangkakan.

Akhir kalam, semoga para pembaca dapat menanamkan di sanubari masing-masing bahawa gejala sakit dada adalah sesuatu yang serius dan boleh mengancam nyawa.

Jika mengalami gejala sakit dada, datang segera ke Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital pada bila-bila masa tanpa mengira siang atau malam.

Kami sedia membantu!


*   Dr Sazwan Reezal Shamsuddin adalah ahli Persatuan Tweet Perubatan Malaysia (MedTweetMy).

**  Beliau boleh diikuti di YouTube melalui SazOne Channel dan di Twitter melalui @drwaque. Beliau memberikan informasi kesihatan di kedua-dua media sosial ini.

*** Pandangan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.



[ad_2]
Source link