KUALA LUMPUR: Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia) mahu menumpukan isu perubahan iklim selain kesedaran masyarakat kepada program persediaan bencana.

Exco Mercy Malaysia, Norazam Ab Samah menjelaskan, ia akan dilakukan di semua peringkat masyarakat sebagai persediaan menghadapi tahun akan datang.

“Dalam 20 tahun akan datang, Mercy akan terlibat khusus dalam program persediaan bencana dan juga perubahan iklim.

“Kita tahu sekarang, banyak bandar semakin lama semakin tenggelam dan suasana begini yang tidak menentu.

“Kita seharusnya menyedarkan masyarakat tidak kira di tingkat mana, sama ada yang bekerja di pejabat kerajaan atau apa sahaja tentang perubahan iklim dan bersedia menghadapi tahun mendatang,” katanya selepas program Penanaman Pokok dan penghargaan Media sempena 20 tahun Mercy Malaysia di sini, pada Sabtu.

TONTON: Agenda AWANI: 20 tahun MERCY Malaysia BACA: Zakat kini boleh dibayar melalui Mercy Malaysia

Pada program sama, Mercy turut menanam empat jenis pokok hutan iaitu Cengal, Kapur, Meranti Tembaga dan Tampoi sebagai simbolik 20 tahun agensi itu.

Dalam pada itu kata Azam, sukarelawan merupakan tonggak utama Mercy dalam melakukan kerja kemanusiaan terutama dalam tindakan semasa bencana berlaku.

“Sukarelawan yang dilatih merupakan aset Mercy sama ada dilatih simulasi di padang atau dilatih teknikal pengetahuan apakah pengurusan bencana ataupun mereka yang terlibat dalam latihan berkaitan program dengan masyarakat, komuniti, bencana, siap siaga isu makanan dan lain-lain lagi. Program ini perlu disusun dengan baik,” ujarnya.

BACA: Penghujung 2019: Alaska mencair, suhu meningkat, burung mati, ikan menghilang

Mercy Malaysia, yang ditubuhkan 20 tahun lalu, menjalankan misi kemanusiaan di negara bergolak akibat bencana, peperangan dan konflik dengan menyalurkan bantuan kemanusiaan dalam bentuk perubatan kecemasan, pemulihan, pembinaan semula dan rehabilitasi.




Source link