[ad_1]

KUALA LUMPUR: Industri e-sukan semakin mendapat perhatian termasuk dari golongan wanita yang dilihat makin hebat dalam pentas sukan maya ini.

Terbaharu, sebuah pasukan yang terdiri daripada lapan ‘bidarari’ yang dikenali sebagai Angel Bosskurr telah ditubuhkan.

Memetik laporan WTM Today, pengasas bersama pasukan tersebut, Sharina Richie berkata tujuannya ialah untuk memperkasakan serta memberi kesedaran kepada umum mengenai penglibatan wanita dalam industri e-sukan.

“Ketika ini memang banyak stigma mengenai pemain wanita apabila mereka bermain video atau melakukan penstriman langsung. Ada yang akan akan merendah-rendahkan kemampuan wanita.

“Kami di Angel Bosskurr ingin menunjukkan ada masa depan bagi kaum Hawa dalam industri e-sukan ini, sama ada dalam bidang kompetitif atau sebagai pempengaruh,” katanya sebagai dipetik portal e-sukan tersebut.

Jelas Sharina, Angel Bosskurr juga akan dibahagikan kepada dua kategori iaitu, kompetitif dan pempengaruh (influencer).

Berikut adalah senarai ahli-ahli Angel Bosskurr:

Kompetitif (PUBG Mobile)
* Miss Farr
* Baybee
* Reen
* Queen

Pempengaruh (Influencer)
* Fiera Fendi
* Sharina Richie
* Miza Mazlan
* Susan Not

Tambahnya, antara program Angel Bosskurr termasuk menyebarkan ‘aura positif’ terutama menerusi program kembali kepada komuniti.

“Contohnya, sebelum ini saya juga pernah mengadakan program amal bersama kanak-kanak Down Syndrome dan autisme kerana adik saya, jadi saya juga mahu melakukan bersama Angel Bosskurr,” katanya.

Dalam pada itu, Sharina turut memaklumkan, penggunaan nama Bosskurr bukanlah kerana ia viral atau ada kaitan dengan mana-mana fahaman politik.

Katanya, mereka telah menggunakan perkataan Bosskurr sejak dahulu lagi dalam komunikasi harian antara pemain memandangkan kebanyakan mereka dari Sabah.

Malah, jelasnya penggunaan Bosskurr telah menjadi sebagai budaya tutur dalam kalangan pemain dan penggiat e-sukan terutama bagi penyokong Bosskurr Gaming, yang merupakan penaung skuad tersebut.

Sebelum ini, desas-desus mengenai penubuhan Angel Bosskurr telah pun didedahkan menerusi portal e-sukan tempatan, WTM Today pada 15 September lalu.

Menurut portal tersebut, sebuah akaun media sosial Instagram yang menggunakan nama ‘Angel Bosskurr’ telah dicipta dan dimuat naik logonya dengan kapsyen akan mendedahkan ahli-ahli pasukan tersebut.



[ad_2]
Source link