[ad_1]

KETIKA mana tulisan ini sudah dilangsai sekali pun, masih ramai warga Malaysia yang tidak sudah-sudah membicarakan soal peletakan jawatan bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Dalam ribut perbincangan di media sosial, sorotan tertumpu kepada status-status rencam sifatnya. Ada yang menawarkan rasa simpati, tidak kurang segelintir yang lain menyokong tindakan beliau, yang juga merupakan Ahli Parlimen Simpang Renggam itu.

Petisyen untuk menzahirkan solidariti kepada beliau semakin meningkat dan kini telah mencecah ratusan ribu sokongan.

Walaupun petisyen itu tidak boleh memulangkan semula Dr Maszlee ke pangkuan jawatan tersebut, ia boleh dilihat sebagai sokongan moral kepada beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU.

Selama 20 bulan, pelantikan Dr Maszlee ke jawatan Menteri Pendidikan, iaitu menteri kanan dalam jangka masa penglibatan politik yang amat singkat (dua bulan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14), boleh dianggap sebagai satu perkara di luar kebiasaan di Malaysia.

Hal ini kerana, pada kebiasaannya, Menteri Pendidikan dipilih dalam kalangan ahli politik senior yang berpengalaman dan telah biasa dengan sepak terajang politik.

Menerajui sebuah kementerian besar seperti Kementerian Pendidikan, bermakna banyak boleh dilakukan oleh Dr Maszlee.

Ambil contoh, guru, pensyarah, sekolah dan universiti semua di bawah pentadbiran beliau yang memerlukan perhatian istimewa.

Oleh kerana itu, meskipun dalam tempoh yang singkat, iaitu hanya 20 bulan, beberapa pencapaian telah dicatat oleh Dr Maszlee.

Pada masa sama, tidak dinafikan, terdapat usaha yang beliau lakukan adalah kesinambungan daripada inisiatif lalu dengan penjenamaan semula.

Kini, peletakan jawatan tersebut membuka persoalan baharu, siapakah yang bakal menggantikan beliau? Semakin ramai yang mula menebak, mencuba nasib menjadi tukang ramal tidak berbayar, sehingga  muncul beberapa nama.

Antaranya, bekas Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mustapha Mohamed atau lebih dikenali sebagai Tok Pa dan bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi yang kini Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah.

Ada juga gesaan agar Menteri Pendidikan diisi oleh calon bukan politik bagi mewujudkan kepelbagaian dalam kabinet. Nama beberapa tokoh akademik dan ekonomi disebut sebagai calon berpotensi.

Namun, menurut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, sebarang calon ahli akademik (bukan ahli politik), perlu dibawa dalam perbincangan pimpinan Pakatan Harapan (PH).

Sebagai ahli akademik dan pernah ada jawatan di Kementerian Pengajian Tinggi, saya sama sekali tidak berminat untuk terheret sama dalam menentukan siapakah calon menggantikan Dr Maszlee, meskipun secara peribadi ada mempunyai pilihan tertentu termasuk calon bukan ahli politik.

Itu tentunya kita bersetuju, ia kuasa dan hak mutlak Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Berilah ruang kepada Tun Dr Mahathir memilih siapa yang paling layak mengisi serta menggantikan Dr Maszlee.

Namun apa yang lebih utama ialah, bagaimana agenda pendidikan khususnya pendidikan tinggi disemarakkan lagi dengan memberi tumpuan isu pokok atau dasar utama.

Ketika Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) diperkenalkan pada 2007 pada era Tok Pa, pelan ini menjadi kitab dan rujukan utama menentukan hala tuju dan kecemerlangan pendidikan tinggi.

Ia dilanjutkan pada era kepemimpinan menteri selepasnya, iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dengan pemerkasaan PSPTN melalui beberapa inisiatif baharu.

PSPTN (meskipun belum tamat tempoh pelaksanaan) digantikan dengan Pelan Pembangunan Pendidikan (Pendidikan Tinggi) atau PPPM PT 2015-2025 bagi menghadapi landskap pendidikan tinggi global yang semakin kompleks. Menteri Pendidikan ketika itu ialah Tan Sri Muhyiddin Yasin yang juga Timbalan Perdana Menteri.

Pelaksanaan PPPM PT sangat bebas dengan keyakinan bahawa universiti diberikan autonomi dan kepercayaan untuk menjayakannya. Tidak ada lagi pelaporan dan pasukan khas memantau pencapaian universiti seperti PSPTN dari semasa ke semasa.

Pada era Dr Maszlee, landskap pendidikan tinggi banyak mengalami perubahan, seiring dengan aspirasi kerajaan baharu.

Apabila beliau mengumumkan untuk membuat kajian semula Dasar Pendidikan Negara (termasuk pendidikan tinggi), ramai yang teruja.

Penulis bersama rakan dalam Pertubuhan Pembangunan Penyelidikan dan Dasar Pendidikan Tinggi Malaysia (PenDaPaT), turut diundang menyampaikan buah fikiran dan cadangan menambah baik dasar pendidikan tinggi negara.

Selepas laporan kajian dasar itu diserahkan kepada Dr Maszlee pada Mei 2019, ia belum lagi diumumkan kepada rakyat Malaysia. Kita masih lagi belum mengetahui apakah dapatan baharu dalam kajian tersebut.

Jika Dr Maszlee masih kekal, platform yang paling sesuai mengumumkannya adalah Amanat Tahun Baharu 2020.

Namun malang sekali, beliau berundur lebih awal – ketika kalendar dekad baharu 2020 baru sahaja diselak.

Mungkin kita tidak memerlukan sebarang pelan baharu untuk pendidikan tinggi setakat ini, kerana PPPM PT masih berjalan.

Namun dapatan kajian dasar pendidikan itu sebenarnya boleh memperkukuh dasar dan amalan pendidikan tinggi untuk kebaikan masa akan datang.

Lebih-lebih lagi, kita amat mengalu-alukan polisi berasaskan pembuktian (evidence based policy) sebagai teras tadbir urus yang lebih berkesan, bukan polisi secara tiba-tiba atau adhoc yang dibuat tanpa kajian rapi.

Pendidikan Tinggi pasca Dr Maszlee turut meninggalkan persoalan, iaitu ke arah mana usaha memperkasa tadbir urus universiti.

Jika mengikut perancangan, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) akan digantikan dengan sebuah akta baharu yang lebih progresif pada 2020. Ini seharusnya menjadi keutamaan menteri baharu untuk meneruskannya.

Selain itu, keperluan mewujudkan sebuah suruhanjaya pendidikan tinggi perlu dilihat secara lebih serius bagi memantapkan tadbir urus, governan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dan kebebasan akademik tanpa banyak campur tangan politik.

Ini pernah dibangkitkan oleh PenDaPaT dalam satu memorandum kepada Dr Maszlee pada awal pelantikan beliau.

Pada masa yang sama, soal wibawa pendidikan tinggi perlu terus diligatkan dengan memberi tumpuan kepada soal kecemerlangan berasaskan integriti akademik.

Kecemerlangan juga perlu didefinisikan semula dengan meraikan kepelbagaian input dan pencapaian, bukan melihat dalam jalur yang sangat sempit.

Slogan pendidikan untuk semua menjadi mantra pendidikan tinggi sekian lama. Ini bermakna, impak pendidikan juga perlu sampai kepada masyarakat.

Gagasan ‘Universiti Untuk Masyarakat’ perlu menjadi agenda utama dan bukan lagi diletakkan jauh ke belakang sebagai misi ketiga universiti.

Paling penting, langkah ke hadapan pendidikan tinggi tidak akan sempurna selagi ia diletakkan sekali dalam Kementerian Pendidikan.

Pendidikan Tinggi perlu ‘rumah sendiri’ untuk menawarkan sebuah kehidupan yang lebih bermakna dan sejahtera. Sudah tiba masanya Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dipulangkan kembali dengan seorang menteri baharu yang boleh dipertanggungjawabkan.


Penulis ialah Profesor Madya di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM). Beliau merupakan penganalisis politik yang sering memberi komentar dalam media tempatan mahupun antarabangsa.

Penulis juga Setiausaha Pertubuhan Pembangunan Penyelidikan dan Dasar Pendidikan Tinggi Malaysia (PenDaPaT) dan bekas Setiausaha Akhbar (SUA) Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.



[ad_2]
Source link