[ad_1]

SARIKEI: Seorang lelaki dilaporkan sedang bertarung nyawa di Zon Merah Hospital Sarikei kerana mengalami kelecuran teruk di bahagian muka selepas dipercayai terlibat dalam cubaan mencuri komponen di pencawang eletrik di Jalan Merudu dekat sini, malam Selasa.

Difahamkan, lelaki berusia 32 tahun tersebut dan merupakan warga tempatan itu telah dihantar oleh seorang rakan subahatnya ke Unit Kecemasan dan Trauma Hospital Sarikei.

Ketua Polis Daerah Sarikei, Deputi Superintendan, Awang Arfian Awang Bujang ketika dihubungi berkata, pihaknya telah bertindak menahan lelaki berusia 19 tahun itu ketika sedang menemani rakannya itu yang dirawat di Zon Merah itu sekitar jam 1 pagi Rabu.

“Kejadian itu disedari selepas seorang juruteknik syarikat utiliti membuat laporan polis berhubung kebakaran di pencawang eletrik di Jalan Merudu pada jam 12.21 tengah malam tadi,” katanya.

Juruteknik itu bergegas ke pencawang berkenaan selepas pihaknya menerima aduan daripada orang awam mengenai masalah bekalan eletrik yang terputus di kawasan bandar, sekitar 9.30 malam.

“Berikutan itu, seorang juruteknik dari syarikat utiliti berkenaan telah pergi ke pencawang janakuasa itu untuk membuat pemeriksaan dan mendapati  kepingan logam dan dawai tembaga rosak dipercayai akibat letupan,” katanya.

Pada masa yang sama, pihak polis juga menerima panggilan daripada pihak Hospital Sarikei menyatakan ada seorang lelaki mengalami kecederaan parah di muka sedang menerima rawatan di Unit Kecemasan dan Trauma di Hospital Sarikei.

“Bertindak daripada maklumat, pihaknya telah pergi ke hospital untuk menjalankan siasatan dan mendapati punca kecederaan lelaki itu disebabkan letupan di pencawang eletrik berkenaan,” ujarnya.

Katanya, polis kemudian bertindak menahan rakan jenayah lelaki tersebut yang mengalami kelecuran tahap tiga untuk membantu siasatan kes tersebut.

Polis kini masih menjalankan siasatan berhubung kebakaran di pencawang letrik tersebut



[ad_2]
Source link