LANGKAWI: Mayat seorang lelaki warga Pakistan yang dilaporkan lemas malam tadi berjaya ditemukan petang Sabtu dalam satu operasi mencari dan menyelamat.

Mangsa, Haseeb Ashfaq, 30 tahun, ditemui terapung pada jam 2.30 petang di kedudukan 0.2 batu nautika dari pesisir Pantai Tanjung Rhu oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat yang melakukan pencarian di kawasan terbabit.

Menurut Pengarah Maritim Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Rozali Mohd Said, pihak Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Langkawi menerima laporan dari Balai Polis Ayer Hangat, berkenaan seorang lelaki disyaki lemas di Pantai Tanjung Rhu kira-kira jam 9.45 malam.

Susulan itu, pihaknya telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) 15 minit kemudian.

Tambah Rozali, operasi SAR itu turut melibatkan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Selepas penemuan mayat Haseeb, operasi SAR telah ditamatkan pada jam 3.30 petang dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Maliha (HSM) untuk tindakan lanjut.

Pada Jumaat, Haseeb yang bekerja di sebuah restoran di Langkawi datang bersama tiga rakannya untuk mandi di kawasan pesisir Pantai Tanjung Rhu.

Kehilangan mangsa mula disedari rakan-rakannya semasa mereka naik untuk pulang selepas kelibat Haseeb tidak kelihatan sebelum bertindak melaporkan kejadian terbabit kepada pihak berkuasa.





Source link