KUALA LUMPUR: Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu menafikan dakwaan bahawa parti yang dipimpinnya itu dibiayai oleh DAP.

Memetik wawancara eksklusif beliau dengan akhbar Mingguan Malaysia, Mohamad yang juga mesra dipanggil Mat Sabu menegaskan, dakwaan itu hanya persepsi segelintir individu.

“DAP bukan ada duit. Mereka pun cari duit dengan kutipan makan malam, ini semua persepsi orang mereka menjalankan kerja politik dengan duit jadi mereka beranggapan kami pun macam itu.

“Saya ketika berjuang bersama Amanah saya boleh tidur di surau, boleh tidur di stesen kereta api, boleh naik bas, kereta api dan kapal terbang. Kawan-kawan bagi RM50 dan RM100 sudah cukup duit untuk bergerak, tidak perlu wang berjuta. Kita tiada masalah, sebab kita dilatih sebegitu,” memetik wawancara terbitan pada Ahad itu.

Menteri Pertahanan itu dalam masa sama turut menjawab khabar angin kononnya berlaku pergolakan di dalam parti yang baru berusia empat tahun itu.

“Ia biasa dalam parti politik terutamanya parti pemerintah, dengan diletakkan lima menteri dan lima timbalan menteri kemudian ada ketua menteri, speaker dan exco-exco sudah pastilah sebagai parti pemerintah ada masalah muncul untuk pemimpin dan sebagainya.

“Bagi saya sebagai parti politik ia perkara biasa berlaku namun ia masih berada dalam kawalan,” ujarnya dalam wawancara tersebut.





Source link