[ad_1]

SEBUAH produksi filem di India menzahirkan penghargaan terhadap Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik di atas sokongan yang diberikan kepada sebuah filem terbitan mereka baru-baru ini.

Syarikat berkenaan yang menerbitkan filem Tamil berjudul “Raatchasi” itu turut menyertakan lampiran surat dua halaman yang ditujukan khas buat Dr Maszlee yang sebelum ini memuji jalan cerita filem tersebut dalam usaha membangunkan sistem pendidikan negara.

Tidak hanya mendapat penghargaan daripada pasukan produksi, malah Maszlee turut menerima pujian istimewa daripada pelakon utama filem itu, Jyotika.

Jyotika melalui akaun Twitter suaminya, aktor Suriya Sivakumar menitipkan tanda terima kasih kepada Maszlee atas sokongan yang diberikan dan penghargaan yang tidak ternilai kepada naskhah “Raatchasi”. “Saya sangat tersentuh dengan penghargaan yang ditunjukkan sekali gus menjadikan mesej dan teladan dalam Raatchasi dibawa ke peringkat global,” katanya.

Terdahulu Maszlee di dalam Instagram miliknya berkata “Raatchasi” merupakan sebuah filem wajib tonton yang luar biasa dengan watak yang sempurna.

BACA: Maszlee sifatkan filem Tamil ‘Raatchasi’ terjemahkan aspirasi beliau

Menurutnya, setiap babak sentiasa memberi refleksi kepada keadaan di Malaysia. “Banyak sekali dasar dan perubahan yang kita sedang gubal untuk dilaksanakan telah berjaya digambarkan dalam filem ini. Misalnya inisiatif PSP (Program Sarapan Percuma).

“Filem ini menterjemahkan aspirasi saya yang lebih dari sekadar makanan, tetapi saya ingin melihat guru-guru boleh duduk makan sekali dengan anak-anak kita,” katanya.

BACA: PSP kurang beban ibu bapa bekerja, jimatkan wang perbelanjaan

Maszlee turut menyeru semua pendidik, ibu bapa, murid-murid dan sesiapa sahaja untuk segera menonton filem itu.

Filem “Raatchasi” arahan S Gowthamraj itu memaparkan Jyotika memainkan peranan utama dalam mengharungi liku dan ranjau sebagai seorang guru besar yang tegas ingin memperbaik keadaan sekolah daif walau berdepan pelbagai cabaran.



[ad_2]
Source link