AKTIVIS sosial, Marina Mahathir menganggap filem Mahathir, The Journey sebagai memalukan dan menyatakan projek filem tersebut tidak pernah mendapat sebarang pengesahan daripada keluarganya, lapor sebuah portal berita.

Anak sulung kepada perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu tampil mengatakan bahawa beliau dan ahli keluarga yang lain tidak mengetahui mengenai filem berkenaan.

Dipetik menerusi ciapan Twitter pada Selasa lalu, Marina berkata, beliau hanya mengetahui kewujudan wataknya dalam filem berkenaan melalui media.

Sementara itu, menerusi laporan portal itu juga, Penerbit Reliance Media Group Sdn Bhd, Yusuf Kelana berkata, projek filem Mahathir, The Journey akan tetap diteruskan meskipun tidak menerima persetujuan daripada mana-mana watak terlibat.

Yusuf berkata, pihaknya telah mendapatkan kebenaran daripada Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan akan menghantar surat rasmi kepada semua watak tersebut dalam masa terdekat.

“Kita sudah memulakan projek filem ini kira-kira tujuh bulan lalu dan skrip filem tersebut melalui proses rombakan sebanyak 12 kali sebelum mendapat kelulusan 100 peratus daripada PMO.

“Apabila PMO telah memberikan kebenaran, barulah kita lancarkan filem ini dan kemudian barulah kesemua watak terlibat akan dimaklumkan secara rasmi dalam masa terdekat.

“Walaupun mungkin akan ada yang tidak bersetuju, kita akan teruskan projek ini kerana setiap watak mempunyai peranan dalam perjuangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya kepada portal berkenaan.

Mengulas mengenai kenyataan Marina, Yusuf berkata, filem tersebut mengangkat perjuangan Dr Mahathir dan watak Marina diperlukan kerana beliau merupakan sebahagian keluarga tokoh politik tersebut.

“Filem ini dibuat untuk menceritakan bagaimana perjuangan Dr Mahathir dan bukannya mengenai kisah Marina, namun watak Marina perlu ada.

“Sebenarnya selepas pelancaran filem tersebut, kita ada menghubungi pembantu Marina, malah pelakon watak Marina iaitu Ning Baizura juga ada menghubunginya.

“Memandangkan ini adalah kisah sebenar mengenai Tun Mahathir, jadi watak-watak di sekeliling juga perlu ada. Semua watak, jalan cerita, skrip dan lokasi adalah sama dan tidak akan diubah,” katanya.

Filem Mahathir, The Journey mengisahkan mengenai perjalanan kehidupan Dr Mahathir selepas melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri pada 2003 sehingga dilantik semula pada 2018.

Selain Ning Baizura yang membawakan watak Marina, barisan pelakon yang lain ialah Azhar Amir (Dr Mahathir), Fauziah Latiff (Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali), Hilal Azman (Datuk Seri Anwar Ibrahim), Dian P Ramlee (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail), Lisdawati (Nurul Izzah Anwar), Dazrin Kamarudin (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman), Afieq Hussain (Datuk Seri Mukhriz Mahathir) dan Harminder Singh (Gobind Singh Deo).

Filem arahan Profesor Mohamad Hatta Azad Khan dengan kos kira-kira RM6 juta itu akan memulakan penggambaran pada Disember ini.





Source link