BUKIT KAYU HITAM: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) telah menahan dua ekor anjing jenis Rottweiler dan dua ekor ayam jantan yang dianggarkan bernilai RM2,180.

Pengarah Negeri Kedah Lily Rosalind berkata, hasil pemeriksaan di laluan kenderaan mendapati seorang rakyat tempatan cuba membawa masuk haiwan-haiwan tersebut dari Thailand.

Perbuatan itu dilakukan menggunakan kenderaan jenis Toyota Hilux tanpa permit import yang dikeluarkan MAQIS dan Sijil Kesihatan Veterinar yang dikeluarkan pihak berkuasa berkaitan.

Katanya, kerajaan mengawal pengimportan unggas hidup seperti ayam jantan dan anjing hidup dari Thailand kerana penilaian risiko perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum kebenaran permit import dikeluarkan.

Selain itu, tambahnya, Malaysia mengenakan larangan pengimportan unggas dari Thailand disebabkan penyakit virus selesema burung (H5N1) dan bagi mengawal virus anjing gila yang boleh menyebabkan kematian pada manusia sekiranya haiwan-haiwan tersebut menyerang manusia.

Perbuatan mengimport tanpa permit yang sah dari MAQIS adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin & Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

Ia boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) Akta yang sama, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak lebih 6 tahun atau keduanya.

Lily berkata, pihaknya sentiasa memandang serius isu di sempadan negara yang melibatkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam industri pertanian negara.

Tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasa bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara.





Source link