KUALA LUMPUR: Mangsa kedua yang terperangkap dalam runtuhan struktur di Taman Desa dekat sini, berjaya dibawa keluar anggota mencari dan menyelamat kira-kira jam 9.30 malam Jumaat.

Mangsa berusia 26 tahun yang juga warga Bangladesh itu dibawa keluar dari runtuhan dan dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur untuk menerima rawatan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin turut berpatah balik ke lokasi kejadian selepas pulang beberapa minit sebelum itu untuk melihat keadaan mangsa.

“Mangsa berjaya dikeluarkan dan diberi bantuan pernafasan kerana dia sesak nafas ekoran terperangkap hampir 5 jam di bawah runtuhan,” katanya kepada pemberita

Mengulas mengenai strutktur binaan itu, jelas Zuraida, pihaknya terdiri dari Bomba dan Penyelamat dibantu Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan ( JKKP) akan menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca kejadian.

“Kawasan pembinaan ini akan ditutup, JKKP dan Bomba akan menyiasat punca kejadian termasuk menilai semua spesifikasi pembinaan yang telah dijalankan dan sebagainya,” kata Zuraida.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang Jumaat itu, dua mangsa yang juga pekerja di kawasan pembinaan itu terperangkap selepas struktur enam tingkat itu runtuh.

Mangsa pertama berjaya dibawa keluar jam 5.15 petang dan dihantar ke Hospital sama untuk menerima rawatan.




Source link