KUALA LUMPUR: Skuad pencak silat negara menutup musim 2019 dengan catatan cemerlang selepas merangkul empat pingat emas, lapan perak dan lapan gangsa pada edisi kelima Kejuaraan Pencak Silat Asia yang berakhir di Yanji, China, hari ini.

Tiga emas berkenaan hadir dalam acara silat tanding menerusi Mohamad Hazim Amzad dalam kelas Putera C (55-60kg), Mohd Al Jufferi Jamari (Putera E-65-70 kg) dan Muhammad Robial Sobri (Putera I-85-90 kg), serta gandingan Nor Hamizah Abu Hassan dan Nur Syazreen Abdul Malek dalam acara silat seni Ganda Puteri.

Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Datuk Megat Zulkarnain Omardin yang dihubungi Bernama, berbangga dengan kejayaan tersebut memandangkan skuad silat kebangsaan terpaksa bertarung di bawah cuaca sejuk yang mencecah 15 darjah celcius.

“Kejayaan ini merupakan satu perkara yang boleh dibanggakan kerana daripada 10 pesilat negara yang mara ke final, empat pesilat berjaya meraih emas, namun saya menasihatkan pesilat negara supaya tidak leka dengan kejayaan ini kerana banyak kelemahan yang perlu diperbaiki bagi menghadapi beberapa kejohanan pada tahun depan,” katanya.

Mengulas lanjut, Megat Zulkarnain berbangga dengan semangat luar biasa yang dipamerkan beberapa pesilat negara, termasuk Mohamad Hazim yang berjaya menewaskan beberapa lawan yang lebih berpengalaman daripada Vietnam dan Thailand, selain bekas juara dunia, Mohd Al-Jufferi yang sentiasa mempamerkan aksi konsisten pada saingan antarabangsa.

“Saya turut berbangga dengan persembahan cemerlang Muhammad Robial yang berjaya menundukkan pesilat berpengalaman daripada Singapura, Sheik Ferdous Sheik Alauddin pada kejohanan kali ini, dan saya berasa seronok apabila melihat prestasi konsisten pesilat kita,” katanya.

Katanya pesilat negara akan meneruskan latihan seperti biasa selepas ini bagi menghadapi tiga kejohanan antarabangsa, iaitu Kejohanan Pencak Silat Terbuka Uzbekistan di Tashkent pada Januari, Kejohanan Empat Negara di Kuala Lumpur pada Februari dan Kejohanan Pencak Silat Terbuka Belgium pada Mac.

Selain empat emas berkenaan, Malaysia turut meraih lapan perak menerusi Muhammad Khairi Adib Azhar dalam kelas Putera A (45-50 kg), Zulfazly Zulfakar (Putera D – 60-65 kg), Mohd Fauzi Khalid (Putera F-70-75kg), Nor Farah Mazlan (Puteri A- 45-50 kg).

Pingat perak lain hadir menerusi Nur Syazerra Hidayah Idris (Puteri B- 50-55kg), Siti Shazwana Ajak (Puteri D- 60-65kg), Siti Rahmah Mohamed Nasir (Puteri E- 65-70kg) dan Luqman Laji dalam acara silat seni Tunggal Putera.

Lapan gangsa pula disumbangkan oleh Mohd Amir Izzat Khalid dalam kelas Putera G- 75-80kg), Mahadi Che Mohd Nor (Putera H- 80-85kg), Norfadilah Mohd Zaini (Puteri F-70-75kg), Ester Tera Empi (Bebas Puteri- lebih 75kg).

Pingat gangsa lain diraih oleh gandingan Mohd Taqiyuddin Hamid dan Sazzlan Yuga dalam acara silat seni Ganda Putera), Muhammad Syafiq Ibrahim, Mohd Juned Abdullah dan Nashrul Edzam Mohd Asri (Regu Putera), Nur Syafiqah Hamzah (Tunggal Puteri) dan gandingan Siti Nur Khairunnisa, Nur Fadhilah Wani dan Fatin Ardani dalam kategori Regu Puteri.

— BERNAMA





Source link