[ad_1]

PUTRAJAYA: Malaysia menggesa kesatuan negara-negara ASEAN untuk mempertingkatkan perdagangan intra-ASEAN yang dilihat masih rendah berbanding di peringkat global.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Ignatius Darell Leiking berkata menerusi Rangka Tindakan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) 2025, ASEAN kini berada dalam fasa kedua integrasi yang akan memberi tumpuan kepada mentransformasi rantau ini untuk menjadi ekonomi yang lebih kohesif.

“Pelbagai inisiatif integrasi di bawah Rangka Tindakan AEC telah membawa kepada pertumbuhan mampan di ASEAN. AEC bukan sahaja menyediakan asas yang kukuh untuk meningkatkan aliran perdagangan dan pelaburan intra-ASEAN, tetapi juga membolehkan ASEAN menjadi destinasi penting bagi pelaburan langsung asing (FDI) global.

“Bagaimanapun, seperti yang dimaklumkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Retreat Pemimpin ASEAN baru-baru ini di Bangkok, perdagangan intra-ASEAN amat diperlukan kerana angka dagangan ketika ini begitu rendah berbanding kumpulan ekonomi serantau lain seperti Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA) dan Kesatuan Eropah (EU),” katanya ketika berucap semasa merasmikan sambutan Hari ASEAN Ke-52 yang berlangsung di Kementerian Luar di sini hari ini.

Jelasnya, ASEAN telah berkembang dengan pesat dan kini menjadi ekonomi keenam terbesar di dunia dan ekonomi ketiga terbesar di Asia.

Malah, dari segi prestasi ekonomi, ASEAN menikmati kadar pertumbuhan tahunan purata pada lima peratus dan dijangka dan terus mengatasi pertumbuhan global pada tahun 2019.

“Menurut unjuran yang dibuat Sekretariat ASEAN, menjelang tahun 2030, ASEAN berpotensi menjadi ekonomi ke-4 terbesar di dunia selepas China, AS dan EU.

“Dengan lebih daripada 642 juta penduduk, ASEAN adalah pasaran ketiga terbesar di Asia selepas China dan India. Pada tahun 2018, jumlah perdagangan berjumlah AS$2.78 trilion yang mana 23 peratus adalah perdagangan intra-ASEAN yang mewakili bahagian perdagangan terbesar ASEAN.

“Rantau ini juga merupakan destinasi pelaburan bertaraf dunia dan telah menarik FDI AS$151.2 bilion pada tahun 2018,” katanya.

Justeru, Darell turut  berharap supaya Rakan Dialog ASEAN terus memainkan peranan penting dalam menyokong pertumbuhan kesatuan 10 negara itu.



[ad_2]
Source link