KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia dinasihatkan supaya tidak menahan pemimpin parti pembangkang Kemboja yang hidup dalam buangan, Sam Rainsy daripada pulang ke negara asalnya.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Reformasi Dewan Negara, Senator Mohd Yusmadi Mohd Yusoff, tindakan kerajaan membenarkan Pengasas Parti Penyelamat Nasional Kemboja (CNRP) itu pulang ke Kemboja tidak akan dianggap sebagai cubaan mencampuri hal ehwal negara lain.

Sebaliknya, ia sebagai menunjukkan rasa hormat terhadap hak asasi manusia.

“Saya merayu agar Malaysia membenarkan Rainsy, bekas Menteri Kewangan Kemboja untuk meneruskan perjalanannya ke negara asal.

“Di bawah undang-undang Malaysia, Rainsy tidak melakukan apa-apa kesalahan memandangkan beliau transit (di Kuala Lumpur) ketika dalam penerbangan ke Kemboja.

“Kita mesti faham bahawa sebagai sebuah negara yang berpegang kepada suara demokratik di rantau ini, 
Malaysia perlu dipimpin melalui teladan dan menghormati hak semua orang,” demikian katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

BACA: Pemimpin pembangkang Kemboja hidup dalam buangan tiba di Kuala Lumpur

Terdahulu, Rainsy dilaporkan selamat mendarat di Kuala Lumpur pada Sabtu.

Memetik agensi berita AP, Pengasas Parti Penyelamat Nasional Kemboja (CNRP) itu tekad untuk kembali ke Kemboja walaupun terdapat cubaan oleh Perdana Menteri Hun Sen untuk menghalangnya.

Mengulas lanjut, Mohd Yusmadi berkata, Malaysia tersepit dalam situasi sukar memandangkan negara berpegang kepada dasar untuk tidak menganggu urusan negara-negara lain.

“Saya bimbang selepas laporan memaklumkan Rainsy yang hidup dalam buangan memilih untuk mendarat di Malaysia dan beliau telah dibawa oleh pihak berkuasa Imigresen negara kita.

“Tetapi pada masa yang sama, Malaysia sebagai pemimpin demokrasi di rantau ini perlu menegakkan hak asasi manusia, terutamanya sejak negara itu dipimpin oleh kerajaan baru, yang menang dalam pilihanraya demokratik,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Yusmadi menjelaskan ketika Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan pada tahun 2000, isteri kepada Rainsy, Tioulong Saumura turut mengunjungi negara ini sebagai menunjukkan solidariti.

“Di sini kita tahu siapa kawan sebenar kita. Hanya ketika kita berada di bawah, kita tahu siapa kawan sebenar kita,” katanya.





Source link