[ad_1]

PUTRAJAYA: Malaysia belum lagi mengalami kes sporadik susulan kluster kedua membabitkan kira-kira 5,000 peserta negara ini yang menyertai perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling pada 27 Februari hingga 1 Mac lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia berikutan individu terbabit boleh dikesan selain pihaknya sudah memaklumkan kepada yang terbabit untuk menghubungi Kementerian Kesihatan (KKM) supaya menjalani saringan.

“Kes-131 yang sebelum ini dikatakan sporadik, tidak betul apabila siasatan lanjut mendapati pesakit merupakan salah seorang peserta perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling.

“Kita juga bersedia untuk mendedahkan jumlah kes positif COVID-19 mengikut negeri.

“Namun, biar kami lakukan analisis dahulu … ia boleh didedahkan. Saya tidak fikir negeri-negeri ada banyak masalah  (kerana nama hospital kerajaan yang mempunyai kes positif COVID-19 didedahkan),” katanya sambil menambah majoriti kes dari gelombang kedua datang dari Lembah Klang.

Dr Noor Hisham berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Kluster COVID-19 yang dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, di sini pada Khamis.

Selain itu katanya KKM turut mengambil maklum kenyataan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai situasi terkini COVID-19 di peringkat global yang melibatkan 114 negara.

Tambahnya, WHO juga telah mengisytiharkan kejadian COVID-19 sebagai pandemik dengan mengambil kira terdapat peningkatan kes yang ketara di negara-negara selain dari China.

“WHO juga memaklumkan bahawa langkah pencegahan dan kawalan yang sedang dijalankan kini masih relevan dan dicadangkan untuk dipertingkatkan.

“Dengan pengumuman WHO ini, KKM akan terus memastikan langkah kawalan dan pencegahan jangkitan COVID-19 yang telah dijalankan dikaji mengikut situasi semasa di negara kita dan akan dipertingkatkan,” katanya.



[ad_2]
Source link