TOKYO: Aktor ternama Hollywood Leonardio DiCaprio pada Isnin menyeru kerajaan-kerajaan bertindak dengan lebih agresif untuk menangani ancaman kebakaran di hutan Amazon, sambil menyifatkannya sebagai suatu yang amat tragik.

Reuters melaporkan usaha memadamkan kebakaran yang dilakukan sekarang ini, menurut DiCaprio, tidak memadai meskipun masyarakat dunia sudah menzahirkan kebimbangan dan kemarahan tentang bencana yang memusnahkan hutan hujan terbesar di dunia itu.

Titik kebakaran yang belum susut di hutan tersebut mencetuskan rasa takut bagi masyarakat dunia memandangkan hutan Amazon begitu penting peranannya untuk persekitaran global.

Hutan itu sahaja menghasilkan satu per lima daripada oksigen di planet Bumi.

DiCaprio menyuarakan perkara itu sehari selepas majlis Earth Alliance, iaitu sebuah inisiatif yang diasaskan bersama dermawan Laurene Powell Jobs dan Brian Sheth.

Inisiatif itu telahpun melancarkan dana permulaan berjumlah AS$5 juta untuk melindungi hutan Amazon.

BACA: Titis hujan tak mampu padamkan ‘raksasa api’ Amazon

BACA: Hutan hujan Amazon terus terbakar, jutaan spesies istimewa berdepan kemusnahan

BACA: Hutan Amazon terbakar ekoran tindakan Presiden Bolsonaro utamakan pembangunan

“Kini ada tragedi besar yang berhubung kait di seluruh dunia iaitu tentang perubahan iklim, dan apa yang kini berlaku di Amazon, yang juga berperanan sebagai paru-paru dunia, begitu penting untuk melindungi kita pada masa depan.

“Kami cuba menggalakkan pihak lain untuk turut serta, bermaklumat dan menyumbang jika mereka mampu,” ujarnya ketika acara tayangan perdana filem Once Upon a Time in Hollywood di Jepun.

Tahun ini sahaja terdapat lebih 78,000 kes kebakaran hutan di Brazil, iaitu hampir dua kali ganda berbanding tahun lalu.

Pakar alam sekitar menuding jari kepada kumpulan spekulator yang sengaja membakar tanaman untuk membersihkan kawasan dengan harapan dapat menjual tanah itu kepada golongan peladang.

“Kerajaan-kerajaan di seluruh dunia, termasuk Brazil, perlu bekerjasama demi memastikan perkara sebegini tidak berterusan.

“Paling penting adalah untuk melindungi hutan ini dan juga budaya pribumi di situ,” tegas DiCaprio.

DiCaprio, yang pernah mengunjungi Brazil dua tahun lalu untuk sama-sama dalam usaha memadam kebakaran bersama puak-puak pribumi, bercadang mahu kembali untuk tujuan yang sama.





Source link