KOTA KINABALU: Seorang lelaki ditemukan lemas ketika cuba menyelamatkan anak saudaranya yang dihanyutkan ombak dalam kejadian di Pantai Kalambu, daerah ini, petang Ahad.

Dalam kejadian itu, mangsa, Abd Salleh Hamza, 47, ditemui oleh pihak bomba yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di pantai berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat, Ishak Jabas berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5.29 petang tadi.

Menurut beliau, sebaik tiba di lokasi, pihaknya berjaya menemukan kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang dihanyutkan ombak deras di kawasan pantai tersebut.

Kanak-kanak itu seterusnya digegaskan ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Operasi SAR kemudiannya diteruskan bagi mengesan bapa saudara mangsa yang turut dihanyutkan ombak ketika cuba menyelamatkan kanak-kanak berkenaan.

“Mangsa berjaya ditemui kira-kira 100 meter dari pantai dalam keadaan tidak sedarkan diri, kita kemudiannya memberikan bantuan pernafasan kecemasan sebelum ketibaan pasukan paramedik.

“Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Kudat untuk rawatan kecemasan namun disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital,” katanya.





Source link