KUANTAN: Lelaki yang menikam ibunya sehingga mati di Taman Kampung Padang di sini pagi tadi dipercayai mempunyai masalah  psikiatri sejak lapan tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohammad Noor Yusuf Ali berkata, siasatan awal mendapati suspek mempunyai rekod rawatan psikiatri dan tidak bekerja.

“Kalau ikutkan rekod, suspek sudah lapan tahun menghidap penyakit ini. Kita masih lagi menyiasat motif kejadian dan akan mendapatkan perintah reman terhadap suspek bagi membantu siasatan,” katanya di sini hari ini.

Dalam kejadian itu, mangsa Sefiah Hamid, 62, dipercayai ditikam suspek berusia 38 tahun dan tidak bekerja itu antara jam 8.30 hingga 10.30 pagi di ruang tamu rumah mereka.

BACA: Ibu maut ditikam anak sendiri

BACA: “Aku dah bunuh mak”

Suspek kemudiannya dipercayai menolak jenazah mangsa yang diletakkan di atas kerusi roda sejauh 50 meter sehingga menyebabkan orang ramai menyedari kejadian tersebut dan terus menghubungi polis.

Sewaktu lelaki itu menolak kerusi roda, suspek bertindak menikam adik perempuannya yang kebetulan tiba di tempat kejadian bersama teman lelakinya

Dalam pada itu, beliau berkata, akibat itu Masitah Mustafa, 26, yang merupakan adik suspek mengalami cedera parah di belakang badan manakala teman lelakinya, Mohammad Azizan Awang, 37, cedera di lengan.

“Mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk proses pengebumian.

“Mangsa yang cedera turut menerima rawatan di HTAA dan keadaan mereka dilaporkan stabil,” katanya.





Source link