IPOH : Seorang lelaki maut dipercayai akibat terjatuh dari tingkat 23 sebuah bangunan apartmen di Meru, Ipoh pada Rabu.

Mangsa, warga tempatan berusia 55 tahun ditemui orang awam dalam keadaan berlumuran darah berhampiran laluan keluar kawasan tempat letak kenderaan apartmen itu.

Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian pada 11.55 pagi.

“Kita dapati di dalam rumah tu ada seorang perempuan dalam keadaan yang mabuk. Apabila kita (polis) minta dia buka pintu itu, agak sukar sebabkan keadaannya yang mabuk.

“Apabila kita telah berjaya dapat buka, kita bawa dia ke hospital untuk pemeriksaan. Siasatan lanjut masih sedang kita jalankan sebab siasatan pihak forensik juga dijalankan. Cuma kita menjumpai ada kerusi di beranda luar apartmen ini,” ujar A. Asmadi.

Beliau ditemui di tempat kejadian pada Rabu.

Menurutnya, mangsa difahamkan telah diberhentikan kerja beberapa bulan lalu dan berada dalam keadaan tertekan.

Mayat mangsa dibawa Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh (HRPB) untuk bedah siasat.





Source link