SEGAMAT: Seorang lelaki maut selepas jengkaut yang dinaiki terbalik dan menghempapnya dalam kejadian di Padang Ragut Peta Temalik, Jalan Tengah, Kampung Tenang, Labis, di sini, pada Selasa.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Labis, PBK II Sharfini Nasar berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian kira-kira jam 5.27 petang dan tujuh anggota digegaskan ke lokasi kejadian.

Mangsa yang meninggal dunia dikenal pasti sebagai Masor Rahman, 42 tahun, dari Kampung Gelang Cincin, Segamat.

“Ketika di lokasi kejadian, jentera jengkaut didapati terbalik dan menghempap mangsa.

“Difahamkan, mangsa membawa jengkaut bagi tujuan membersihkan kawasan padang ragut tersebut.

“Pihak bomba mengambil masa lebih kurang 20 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit. Operasi menggunakan ‘air lifting bag’ (beg pengangkat menggunakan udara),” kata Sharfini.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya,” katanya.





Source link