KUALA LUMPUR: Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia di dalam sebuah kereta yang diletakkan di sebelah stesen minyak di Taman Cempaka, Ampang, dekat sini, pada Jumaat.

Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff, pihaknya menerima panggilan pada pukul 6.25 petang daripada orang awam yang memaklumkan mengenai kejadian.

“Setibanya di lokasi, polis mendapati mangsa yang berusia 48 tahun itu maut di dalam kereta jenis Proton Saga warna putih yang dalam keadaan berkunci.

“Siasatan awal mendapati mangsa lengkap berpakaian dan duduk di bahagian pemandu dengan enjin kereta dalam keadaan hidup serta berkunci dari dalam,” katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.

Tambah Noor Azmi, pemeriksaan lanjut mendapati tingkap cermin bahagian belakang sebelah kiri tidak ditutup rapat dan diselit dengan kain hitam.

“Manakala bahagian luar terdapat getah paip berukuran 1.7 meter dimasukkan ke dalam lubang ekzos ke bahagian tingkap tersebut.

“Polis turut menemukan dompet mangsa yang mengandungi lesen memandu, kad bank dan sedikit wang tunai serta sebuah telefon bimbit jenama iPhone 6s di dalam kereta tersebut.

“Pemeriksaan fizikal ke atas mangsa tidak menjumpai sebarang kecederaan lain dan bedah siasat akan dibuat pada hari ini bagi mengetahui punca kematian,” jelasnya.

Kes diklafikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan punca kematian selepas bedah siasat dijalankan.





Source link