[ad_1]

LANGKAWI: Tindakan seorang pemandu bot pelancong mencari pendapatan sampingan dengan menjual dadah mengundang padah apabila dicekup polis tengah malam tadi.

Dalam kejadian pukul 12.01 tengah malam, lelaki berumur 26 tahun itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah dan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi di kawasan Kampung Nyior Cabang, di sini.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Supt Mohd Iqbal Ibrahim berkata, suspek ditahan semasa berjalan kaki sambil menyilang beg dalam keadaan mencurigakan dan sebaik anggota polis memperkenalkan diri, suspek bertindak agresif dan cuba melarikan diri namun berjaya ditahan.

“Hasil pemeriksaan lanjut di dalam beg silang yang dibawa lelaki itu, polis menemukan dua peket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis heroin anggaran berat 97.40 gram bernilai lebih kurang RM2,000 dan dua peket plastik lutsinar berisi bahan disyaki syabu kira-kira 76.70 gram bernilai anggaran RM6,000,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Iqbal berkata hasil ujian saringan air kencing mendapati lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine dan memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan,” katanya. – BERNAMA



[ad_2]
Source link