KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan menyita 12,729 produk makanan bernilai RM109,289 dalam operasi khas penguatkuasaan yang dijalankan ke atas premis makanan di seluruh negara pada 21 dan 22 Ogos lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan pada Rabu berkata Op Label itu dijalankan bagi memastikan produk makanan yang dijual dilabel dengan betul dan tidak mengelirukan pengguna.

Beliau berkata 110 notis hadir ke mahkamah dikeluarkan di bawah Akta Makanan 1983 kepada pemilik premis makanan yang gagal mematuhi peruntukan tertentu di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

“Antara kesalahan yang dikenal pasti adalah bahasa yang digunakan pada label dan maklumat label tidak mematuhi peraturan seperti nama sebutan sebenar, senarai ramuan tidak lengkap, tiada penyataan ramuan yang boleh menyebabkan alergi (hipersensitiviti), tiada berat bersih atau isipadu dan lain-lain,” katanya.

Dr Noor Hisham menarik perhatian bahawa semua makanan yang diproses atau dibungkus di negara ini perlu dilabelkan dalam Bahasa Malaysia manakala makanan import dibenarkan dilabel dalam Bahasa Malaysia atau Bahasa Inggeris.

— BERNAMA





Source link