[ad_1]

KEPADA generasi seperti saya yang berusia dalam lingkungan 40-an, alunan-alunan melodi yang kedengaran sekitar tahun 80-an dan 90-an khususnya memainkan peranan yang cukup besar dalam selera muzik kami.

Ketika ekosistem kehidupan manusia yang dikendalikan secara old school apa sangat pilihan yang ada selain daripada mendengar muzik di corong-corong radio.

Begitu juga dengan kaset atau cakera padat yang menjadi fenomena di era berkenaan sebelum teknologi berteraskan digital mengambil alih.

Kerana itu, generasi yang pernah mengenali band-band tempatan seperti Search, Wings, Gersang dan tentu sekali Exists punya banyak sebab untuk merasakan kesetiaan mereka pada muzik yang dijelmakan pada era berkenaan tidak boleh dipertikaikan.

Lalu, apabila Exists mengumumkan hasrat mengadakan konsert dalam skala yang besar, berita itu menjadi topik perbualan yang besar dalam kalangan pencinta mereka.

Saya tidak terkecuali begitu teruja mendengar projek himpunan semula kesemua anggota asal Exists di pentas konsert.

Selepas berbulan-bulan bekerja keras, keinginan itu direalisasikan oleh Ajai, Along, Shah, Musa, Ujang serta kedua-dua vokalis yang menjadi tulang belakang Exists, Mamat dan Ezad pada Sabtu malam di Stadium Malawati, Shah Alam.

Exists Reunion menjadi buah tangan yang dijaja kumpulan itu sehingga akhirnya dapat menghimpunkan 4,000 pencinta setia mereka.

Lebih dua jam, kesemua anggota Exists membawa ingatan peminat terhadap perjalanan seni mereka yang sudah berusia 28 tahun.

Jelas sekali, hampir tiga dasawarsa dalam gelanggang muzik, Exists sudah meletakkan jenama band itu di kedudukan yang sebenar-benarnya.

Beraksi dengan penuh bertenaga di hadapan peminat yang larut dalam melodi-melodi emas yang tercipta sejak awal 90-an hingga 2000 sekali memberikan isyarat yang amat jelas bahawa Exists adalah satu nama besar dalam landskap industri hiburan tanah air.

Tidak pasti kenapa peluang mengadakan konsert besar seperti Sabtu malam itu terlalu lama untuk diperoleh, namun, persembahan Exists Reunion lebih dua jam itu memperlihatkan Existst mewarnakan pentas dengan energi dan sebuah rangkuman perjalanan panjang sebuah yang mendedikasikan seluruh raga mereka pada muzik.

Gabungan seluruh harta intelek yang diperjuang Exists pada malam ajaib itu memberi makna yang sangat mendalam mengenai kepuasan beraksi di sebuah konsert yang besar.

Exists Reunion turut memperlihatkan bagaimana setiap seorang anggota Exists mengenepikan kepentingan peribadi masing-masing semata-mata untuk membawa relung-relung kenangan bersama peminat terhadap rangkaian lagu-lagu malar segar mereka yang barangkali sudah beratus atau mungkin beribu kali didendangkan.

Konsert Exists Reunion barangkali sifatnya bukan spektakular, namun, pengisiannya sarat dengan terjemahan atau nilai sebenar kejujuran dalam berkarya.

Inilah pemahaman yang harus diberi tumpuan oleh angkatan anak seni baharu seandainya mahu memahat nama dalam direktori industri hiburan.

Bagi pementasan sedemikian, saya sentiasa berusaha untuk tidak mencari kelemahan kerana jika itu matlamatnya, maka kita akan terlupa untuk memberikan apresiasi terhadap usaha penghibur seperti Exists menganjurkan konsert seperti yang dilakukan mereka semalam.

Konsert Exists Reunion memberi makna yang sangat mendalam mengenai kepuasan beraksi di sebuah konsert yang besar.

Tidak hanya memberi tumpuan pada vokal kedua-dua penyanyi kumpulan itu yang sebetulnya sangat bertenaga terutamanya Ezad yang saya harus sifatkan antara penyanyi lelaki terbaik yang pernah dilahirkan di Malaysia.

Kelunakan dan kemantapan vokal Ezad sepanjang konsert berlangsung sangatlah konsisten.

Manakala nyanyian Mamat pula sentiasa membawa ingatan peminat terhadap era kegemilangan Exists semasa di awal penubuhan mereka.

Mamat dan Ezad sama-sama membuktikan mereka adalah vokalis terbaik negara.

Seperkara yang turut disedari pada konsert berkenaan ialah Exists membawa dimensi baharu bagi karya-karya yang sudah berpuluh-puluh tahun usianya menerusi susunan muzik yang lebih segar, bersifat remaja dan sangat kontemporari.

Barangkali, itu juga faktor yang mendekatkan mereka dengan peminat-peminat yang sama-sama ikut menyanyi bersama sepanjang konsert.

Terima kasih juga pada skrin LED yang turut memaparkan lirik kesemua lagi yang akhirnya menjadikan stadium saling tidak ubah seperti sebuah ‘bilik karaoke’ kerana audiens juga mahu menjadi sebahagian daripada Exists.

Tidak pasti dengan penonton lain, tetapi pada konsert Exists Reunion semalam saya ikut sama menyanyi dengan kumpulan itu bermula dengan lagu pertama sehingga akhir.

Hampir separuh persembahan saya bersendirian di satu sudut menikmati konsert mereka kerana mahu larut dalam kedewasaan mereka sebelum berpindah ke hadapan pentas menyertai rakan-rakan wartawan lain.

Dan irama-irama emas Exists seperti Anugerah, Janji Padamu, Bunga, Seperti Dulu, Masih Terserlah Ayumu, Dirantai Digelangi Rindu, Untukmu Ibu, Mengintai Dari Tirai Kamar, Langkah Seiringan, Jesnita, Rahsia Pohon Cemara dan Alasanmu dan lain-lain membuatkan saya berasa kembali ke usia remaja.

Terima kasih Exists kerana menjadi antara sebab kenapa saya meminati muzik.



[ad_2]
Source link