[ad_1]

SEREMBAN: Ahli Parlimen Jelebu Datuk Jalaluddin Alias hari ini menafikan laporan berita yang mendakwa beliau sedang tenat.

Jalaluddin yang juga Pengerusi UDA Holdings Bhd (UDA) berkata laporan berita sebuah akhbar berbahasa Tamil itu tidak benar, tidak berasas dan mempertikaikan kesahihan berita yang langsung tidak dirujuk kepadanya terlebih dahulu.

“Saya sekarang berada di Jelebu, pagi tadi saya berada di Kuala Lumpur dan selesai bermain golf tengah hari tadi, saya terima banyak panggilan telefon dan WhatsApp daripada kawan-kawan bertanyakan tentang keadaan saya dan saya kata saya okey, sihat, alhamdulillah.

“Dalam masa sama ada juga yang kongsikan berita daripada akhbar tersebut yang melaporkan saya kini sedang tenat…jadi apa yang dilaporkan akhbar tersebut memang tidak betul,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Mengulas lanjut, Jalaluddin yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata sebagai seorang wartawan adalah menjadi tanggungjawab untuk melaporkan berita yang sahih termasuk mendapatkan pengesahan daripada sumber sesuatu berita yang ingin disiarkan.

Tambahnya, beliau akan mendapatkan penjelasan daripada syarikat akhbar berkenaan berhubung perkara itu.

Dalam siaran berita tersebut, Jalaluddin turut dilaporkan telah dikejarkan ke hospital dari rumahnya di Kuala Klawang ke Kuala Lumpur.

— BERNAMA



[ad_2]
Source link