SATU usaha bersepadu perlu diambil oleh masyarakat antarabangsa bagi menyingkir Israel dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Ini susulan penindasan dan kekejaman berterusan yang mereka lakukan terhadap penduduk Palestin semenjak negara Israel tertubuh lebih 71 tahun yang lalu. Rakyat Palestin tidak pernah mengecapi kedamaian semenjak penubuhan negara Israel pada tahun 1948 dan rampasan tanah milik rakyat Palestin di Tebing Barat dan di Semenanjung Gaza oleh Israel selepas tamatnya Perang Enam Hari pada tahun 1967. Hak rakyat Palestin juga sering dinafikan sehingga ramai rakyat Palestin terpaksa hidup merempat serta menjadi pelarian di negara-negara lain.

Buat sekian lama, rakyat Palestin menjadi mangsa penindasan dan kekejaman oleh pihak tentera Israel. Penindasan dan kekejaman yang dilakukan terhadap penduduk Israel bukan hanya dilakukan oleh kalangan tentera Israel malah turut disertai oleh beberapa persatuan dan individu Israel sendiri yang tidak suka kan kehadiran rakyat Palestin di Tebing Barat serta di Semenanjung Gaza. Oleh itu, sudah sampai masanya, satu tindakan tegas diusahakan dan dilancarkan oleh masyarakat antarabangsa bagi menghukum Israel kerana kegagalan mereka untuk hidup dalam sebuah masyarakat yang bertamadun serta yang berpandukan undang-undang antarabangsa yang mengutamakan hak asasi setiap manusia.

Antara langkah paling drastik yang boleh dipertimbangkan untuk diambil oleh masyarakat antarabngasa ialah dengan menyingkir Israel terus dari pertubuhan PBB itu sendiri. Pertubuhan PBB merupakan sebuah pertubuhan antarabangsa yang paling penting pada zaman ini. Penyingkiran Israel dari PBB dapat memberi satu isyarat yang jelas kepada Israel supaya tidak meneruskan segala penindasan dan kekejaman yang dilakukan oleh mereka terhadap rakyat Palestin. Israel perlu diingatkan bahawa penubuhan negaranya sendiri pada tahun 1948 yang lalu banyak terhutang budi kepada PBB. Pada tahun 1947, PBB telah memutuskan untuk membahagikan daerah mandat British, Palestin. Keputusan terbabit telah ditentang keras oleh negara-negara Timur Tengah dan banyak negara Islam diserata dunia. Semenjak penubuhan negara Israel, pelbagai masalah telah ditimbul oleh Israel terutamanya terhadap rakyat Palestin yang juga jelas bertentangan dengan tujuan dan matlamat asal penubuhan PBB itu sendiri.

Di antara matlamat utama penubuhan PBB, sebagaimana yang ditetapkan dalam Perkara 1 Piagam PBB 1945 (United Nations Charter 1945) adalah untuk mengelakkan perulangan peperangan, konflik, serta pertikaian yang hebat antara negara-negara, menegakkan prinsip hak asasi manusia, menjamin rasa hormat terhadap undang-undang antarabangsa, serta memperbaiki taraf hidup penduduk di seluruh dunia tanpa mengira agama, bangsa dan negara. Semua matlamat yang dinyatakan jelas tidak dipatuhi oleh Israel semenjak penubuhan negara mereka lebih 71 puluh tahun yang lalu.

Oleh yang demikian, sewajarnya Israel di singkir terus dari PBB. Langkah penyingkiran Israel ini juga selaras dengan peruntukkan peraturan yang terdapat didalam Piagam PBB sendiri. Perkara 6 Piagam PBB 1945 menyatakan dengan jelas bahawa “Ahli Bangsa-Bangsa Bersatu yang telah berterusan melanggar Prinsip yang terkandung dalam Piagam ini boleh dibuang daripada Pertubuhan Melalui Perhimpunan Agung atas syor Majlis Keselamatan”. Bagi menjayakan cadangan berkenaan, masyarakat antarabangsa perlu mengetepikan segala perbezaan kecil yang mereka ada dan bekerjasama serta bersatu seperti yang telah ditunjukkan oleh mereka beberapa tahun yang lalu melalui resolusi Majlis Keselamatan, PBB 2334 pada bulan Disember 2016 yang berjaya dengan sebulat suara mengutuk kekejaman dan penindasan berterusan Israel terhadap rakyat Palestin.

Dengan penyingkiran Israel, seluruh negara dunia dapat memberi pengajaran kepada Israel serta memaksa mereka untuk mengubah perangai buruk mereka selama ini terhadap rakyat Palestin. Walaupun perkara ini sukar dilaksanakan terutamanya tanpa sokongan dari sesetengah negara yang menduduki Majlis Keselamatan PBB yang menjadi proksi serta penyokong kuat Israel seperti Amerika Syarikat namun langkah atau usaha yang ingin diambil ini sekurang-kurangnya dapat sedikit sebanyak memberi isyarat jelas kepada Israel bahawa masyarakat antarabangsa tidak akan hanya duduk diam terhadap segala kekejaman dan penindasan yang dilakukan oleh mereka terhadap rakyat Palestin serta pada masa yang sama tindakan yang diambil ini dapat memberi sokongan moral kepada rakyat Palestin untuk hidup lebih aman, hamoni dan bebas dari penjajahan Israel.


* Dr Muzaffar Syah Mallow, Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

** Pandangan yang diutarakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak berkaitan dengan Astro AWANI

 





Source link