KUALA LUMPUR: Orang kelainan upaya (OKU) penglihatan di negara ini berhadapan masalah mendapatkan ilmu dan maklumat penting berikutan kurangnya kemudahan braille untuk mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Modal Insan, Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM), Dr Ahmad Shamsuri Muhamad berkata keadaan tersebut merupakan antara cabaran terbesar kepada golongan itu.

Bahan bacaan dalam tulisan braille begitu kurang di pasaran pada masa ini, katanya.

“(Begitu juga) mahu ke mana-mana, nak guna lif tak tahu nak tekan apa sebab tiada tulisan braille, dan di restoran kebanyakan menu tidak disediakan tulisan braille.

“Mesin braille untuk sekolah pendidikan khas juga masih tidak mencukupi. Dulu pelajar cacat penglihatan disediakan mesin braille setiap seorang, tetapi sekarang perlu dikongsi dua orang menyebabkan wujudnya kekangan kepada mereka bagi mendapatkan akses untuk belajar dengan baik,” katanya ketika ditemui Bernama pada Pameran Pendidikan Khas Antarabangsa (ISEE) 2019 di sini, hari ini.

Pameran empat hari itu berakhir pada Isnin (1 Sept).

Ahmad Shamsuri yang juga pensyarah di Jabatan Pendidikan Psikologi dan Kaunseling, Universiti Malaya, berkata kekurangan kemudahan tulisan braille juga menyukarkan golongan berkenaan mengetahui maklumat dan berita dalam dan luar negara.

Justeru, beliau menyarankan agar diperbanyakkan maklumat dalam tulisan braille supaya OKU cacat penglihatan mempunyai peluang mendapatkan ilmu sama seperti orang normal, selain mempertingkatkan kemudahan awam kepada golongan berkenaan.

“Banyak kemudahan untuk orang kelainan upaya ini disalahgunakan, tempat pejalan kaki yang dikhaskan untuk orang buta dijadikan parkir motor, diletakkan meja makan dan sebagainya yang saya rasa tidak patut dilakukan,” tegasnya.

Selain itu, beliau berkata orang ramai perlu mengelak rasa prejudis terhadap golongan berkenaan terutama dalam sektor pekerjaan kerana mereka juga mampu bekerja dengan baik seperti orang normal.

Terdahulu, kira-kira 30 OKU penglihatan menyertai pertandingan membaca braille yang dianjurkan SBM.

Ahmad Shamsuri berkata tujuan pertandingan itu diadakan bagi mencungkil bakat golongan tersebut di samping memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai kepentingan tulisan braille terhadap orang cacat penglihatan.

ISEE 2019 yang memasuki hari ketiga ini merupakan pameran anjuran bersama Persatuan Pendidikan Khas Kebangsaan (PPKK) dan PPKK Kuala Lumpur dengan Universiti Malaya dan Jobs Malaysia, dengan sokongan Kementerian Pendidikan, yang turut menampilkan pembentang antarabangsa.

— BERNAMA





Source link