[ad_1]

KUALA LUMPUR: Pasukan Kuala Lumpur mensasarkan untuk muncul juara Liga Premier 2020, untuk membolehkan pasukan itu kembali ke saingan utama Liga Malaysia, Liga Super pada musim seterusnya.

Bagi merealisasikan objektif itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) Khalid Samad meminta semua para pemain dan pengurusan pasukan, untuk memberikan fokus dan komitmen penuh.

Beliau yang juga merupakan Menteri Wilayah Persekutuan itu turut memberikan amaran, bahawa mana-mana pemain yang gagal menyerlah dan sekadar menjadi ‘penumpang’ dalam pasukan, akan disingkirkan daripada pasukan kendalian Muhammad Nidzam Adzha itu.

“Saya merasakan pasukan ini tidak sepatutnya berada di Liga Premier pada asalnya, saya tidak memahami apa yang berlaku pada musim lepas (sehingga tersingkir dari Liga Super) kerana kita mempunyai bakat yang secukupnya.

“Matlamat kita adalah untuk muncul juara Liga Premier musim ini, kerana tidak mahu Kuala Lumpur duduk di divisyen kedua lebih dari setahun, kita harus menang perlawanan pertama dan terus kekal di tangga teratas sehingga akhir musim. Kontrak (pemain) dengan KLFA adalah untuk menzahirkan prestasi permainan yang terbaik dan itu tanggungjawab mereka.

“Kita sebagai majikan, tanggungjawab kita adalah memastikan semua yang dijanjikan (gaji, kelengkapan dan kemudahan) dipenuhi,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani pemain bagi pasukan Liga Premier musim 2020 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, pada Rabu.

Tanpa mendedahkan jumlah bajet, Khalid berkata dana bagi musim ini yang bakal bermula pada 28 Feb, mencukupi untuk perbelanjaan pasukan dan pembayaran gajji pemain.

Seramai 26 pemain telah menandatangani kontrak pada hari ini, termasuk dua pemain import, iaitu pemain tengah dari Brazil, Paulo Josue yang dinamakan sebagai kapten pasukan selepas kekal bersama pasukan itu buat musim keempat dan pemain baharu di bahagian pertahanan, Azamat Baimatov dari Kyrgyzstan.

Antara pemain tempatan bersama skuad ‘The City Boys’ adalah pemain kebangsaan, Akram Mahinan, pemain veteran Shukor Adan, S. Subramaniam, Qayyum Marjoni dan Nik Shahrul Azim Abdul Halim.

Sementara itu, Muhammad Nidzam berkata keputusan mengenai dua lagi pemain import akan diputuskan selepas aksi persahabatan menentang UiTM FC pada Jumaat ini, di mana pasukan itu sedang menguji dua pemain di bahagian serangan, iaitu pemain Perancis, Guy Gnabouyou dan bekas pemain Melaka United, Davy Angan dari Ivory Coast.

“Mesej dari presiden adalah jelas, jadi kita akan berazam untuk mencapai matlamat itu. Kita perlu membentuk keharmonian dan kerasian, kerana hanya tujuh pemain dari musim lalu kekal bersama pasukan…Lebih kurang 70-80 peratus adalah pemain baharu,” katanya.

— BERNAMA



[ad_2]
Source link