[ad_1]

KUALA LUMPUR: Menjelang penerbitan semula akhbar Utusan Malaysia beberapa bulan lagi oleh syarikat baharu Media Mulia, bekas pengarang kanan akhbar berkenaan, Ku Seman Ku Hussain ditawarkan jawatan Timbalan Ketua Pengarang di organisasi tersebut.

Bagaimanapun, Ku Seman yang pernah mengetuai penerbitan Mingguan Malaysia difahamkan telah menolak tawaran berkenaan.

Menurut sumber, penolakan berkenaan dibuat Ku Seman telah dimaklumkan kepada pengurusan tertinggi syarikat yang akan menerbitkan akhbar Melayu berpengaruh itu.

Difahamkan Ketua Pengarang Malaysia Reserve, Azlan Jaafar dilantik sebagai Ketua Pengarang Utusan Malaysia.

“Ya benar, Ku Seman telah menolak pelawaan itu dengan cara yang baik. Pihak pengurusan  sedang dipertimbangkan nama lain untuk mengisi jawatan nombor dua itu,” kata sumber berkenaan kepada Astro AWANI.

Usaha Astro AWANI menghubungi Ku Seman bagi mendapatkan reaksinya, bagaimanapun, gagal apabila beliau tidak menjawab panggilan dan membalas pesanan di aplikasi WhatsApp.

BACA: Utusan tutup operasi hari ini


BACA: Penutupan Utusan sudah dijangka tapi bukan sebegini pantas – Ku Seman

BACA: Utusan ‘baharu’ perlu neutral, bebas campur tangan kerajaan, parti politik – Penganalisis

Ku Seman merupakan antara wartawan prolifik yang pernah berkhidmat lebih 30 tahun dengan syarikat Utusan Melayu yang menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo, Kosmo Ahad dan Utusan Melayu (jawi).

Beliau meninggalkan syarikat itu pada April 2016 selepas ditawarkan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Utusan Karya.

Ku Seman ditawarkan jawatan CEO berikutan kontroversi tulisannya dalam akhbar Mingguan Malaysia yang tidak selari dengan perkembangan politik tanah air ketika itu.

Dalam satu artikel tulisanya, Ku Seman pernah mencabar Menteri Komunikasi dan Multimedia (ketika itu), Datuk Seri Salleh Said Keruak berdebat isu dana politik RM2.6 bilion yang dikreditkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Selepas meninggalkan Utusan, Ku Seman memberi tumpuan dalam bidang penulisan di portal KUSEMAN.COM.

Perubahan dalam industri media telah memaksa Utusan menutup operasinya pada 9 Oktober tahun.

Sebelum penutupan itu, pelbagai langkah penstrukturan semula dilakukan termasuk UMNO menjual kepentingan sahamnya kepada Pengerus Eksekutif Utusan, Datuk Seri Aziz Sheikh Fadzir melalui syarikatnya, Opulence Asia Sdn Bhd.

Aziz kemudiannya memindahkan permit penerbitan akhbar kepada Dilof Sdn. Bhd. sebelum menjual 70 peratus saham kepada firma Aurora Mulia Sdn Bhd yang dikaitkan dengan jutawan ternama, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.

Berikutan itu, Aroura Mulia yang kini dikenali sebagai Media Mulia memiliki permit penerbitan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo dan Kosmo Ahad.

Dalam kalangan penggiat politik serta pengamal industri media tanah air, masing-masing ternanti-nanti personaliti mana yang akan mengetuai penerbitan akhbar-akhbar berkenaan.

Pengurusan tertinggi editorial lazimnya akan menentukan hala tuju sesebuah akhbar.



[ad_2]
Source link