KULIM: Semua pihak terutama pemimpin tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak perlu mengeruhkan keadaan dengan memperbesarkan isu pengosongan kerusi Parlimen Batu.

Sebaliknya, fokus harus diberikan pada perbincangan melalui saluran rasmi parti bagi menyelesaikan isu terbabit.

Demikian penegasan yang dibuat Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai tanda tanya apakah perlu kerusi Parlimen Batu yang kini disandang P. Prabakaran dikosongkan berikutan Tian Chua diputuskan oleh Mahkamah Tinggi tidak pernah hilang kelayakan untuk bertanding dalam pilihan raya.

Anwar juga berkata, beliau secara peribadi sudah bertemu dengan Tian Chua yang juga Naib Presiden PKR bagi membincangkan perkara terbabit.

“Ketika ini tidak timbul sebarang isu berbangkit mengenai desakan agar Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran meletakkan jawatan,” kata Anwar.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen PKR Negeri Kedah dan Perlis di Dewan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chio Min, di sini pada Sabtu.

Menurut Anwar juga, ketika ini, PKR tidak meletakkan sebarang tekanan kepada Prabakaran untuk mengosongkan kerusi memandangkan itu bukan syarat yang ditetapkan parti sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu.

“Perkara ini boleh dirundingkan tapi setakat ni dalam pertemuan terakhir saya dengan Tian Chua, perkara ini tidak dibangkitkan lagi. Kita bole bincang dalam saluran parti.
“Kita tidak perlu suatu hal yang mengeruhkan suasana… setakat ini tidak timbul  (keperluan Prabakaran letak jawatan)

“Sekarang ini tak difikirkan dan tidak dijadikan syarat daripada awal (kempen PRU-14). Tapi saya tidak mahu buat keputusan muktamad. Terserah kepada perbincangan (rundingan parti). Biar rundingan ikut saluran parti. Saluran parti (iaitu) mesyuarat,” ujar Anwar lagi.

Pada Khamis, sebanyak 14 buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mencadangkan supaya Prabakaran mengosongkan kerusi Parlimen Batu bagi memberi laluan kepada Tian Chua untuk bertanding semula.

Dalam reaksinya, Prabakaran menegaskan, beliau tidak akan mengosongkan kerusi Parlimen itu dan berikrar untuk terus berkhidmat kepada rakyat secara telus serta adil walaupun mnerima desakan untuk berbuat demikian daripada pelbagai pihak.





Source link