KUALA LUMPUR, 15 Ogos – Kos menunaikan ibadah umrah dijangka meningkat sedikit susulan pelaksanaan peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) baharu diperkenalkan kerajaan Arab Saudi berikutan pandemik COVID-19.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata sebahagian besar peningkatan kos itu berkait dengan penjarakan sosial seperti had muatan bilik hotel dan bas.

“Sebagai contoh – jumlah jemaah dalam bilik penginapan dihadkan kepada dua orang sahaja yang mana sebelum wabak COVID-19, satu bilik boleh memuatkan 4-6 orang. Begitu juga semasa jemaah menaiki kenderaan (bas), yang mana jumlah penumpang dihadkan kepada 50 peratus muatan bas.

“Selain itu, jumlah jemaah di dalam Masjidil Haram turut dihadkan. Pergerakan semasa melaksanakan tawaf dan saei perlu mengikuti SOP ketat seperti mana yang kita lihat semasa musim haji baru-baru ini, kerajaan Arab Saudi hanya membenarkan 60 ribu jemaah haji sahaja menunaikan haji,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zulkifli berkata peraturan-peraturan berkenaan turut memberi bayangan bahawa ada kemungkinan kesan kepada kos mengerjakan umrah.

“Oleh yang demikian, kita berharap semua yang berhasrat menunaikan umrah perlu akur dan menerima sebarang perubahan baharu tersebut dengan hati terbuka.

“Jemaah umrah harus sentiasa mematuhi SOP terutamanya penjarakan sosial sepanjang mereka melaksanakan umrah, demi keselamatan semua pihak,” katanya.

Pada 1 Ogos lepas, Arab Saudi telah membuka kembali pintunya kepada pelancong dari 49 negara termasuk Malaysia, dengan mempermudah prosedur mendapatkan visa bagi tempoh setahun dan kebenaran tinggal hingga 90 hari di negara itu.

Zulkifli berkata kebenaran itu adalah satu penghormatan dan pengiktirafan kepada sistem pengurusan kesihatan Malaysia.

Namun, beliau berkata pihaknya masih menunggu makluman rasmi dan terperinci dari Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi bagi membenarkan rakyat negara ini menunaikan ibadah umrah.

“Jemaah umrah dari Malaysia yang ingin melaksanakan ibadat umrah perlu bersedia dengan perubahan-perubahan baharu yang bakal ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi.

“Pihak kami difahamkan kerajaan Arab Saudi sedang meneliti peraturan-peraturan terperinci ke atas sesebuah negara dengan mengambil kira permasalahan penjagaan kesihatan dan keselamatan semua pihak dalam suasana pandemik COVID-19 yang masih belum reda di serata dunia,” katanya.

–BERNAMA


Source link

Join to newsletter.

Curabitur ac leo nunc vestibulum.

Thank you for your message. It has been sent.
There was an error trying to send your message. Please try again later.

Continue Reading

Get a personal consultation.

Call us today at (555) 802-1234

Request a Quote

Aliquam dictum amet blandit efficitur.