[ad_1]

KUALA LUMPUR: Pelajar Malaysia yang terperangkap di Wuhan tidak sabar untuk pulang ke tanah air selepas mengetahui pihak berkuasa China telah memberi kebenaran untuk berbuat demikian.

Pelajar Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Geosains di Wuhan, Balachandar Subramaniyan, 43 tahun, berkata, beberapa pegawai Kedutaan Malaysia di China telah menghubunginya melalui aplikasi WeChat petang Sabtu bagi memaklumkan mengenai perkara tersebut.

“Selepas sahaja berbalas mesej dengan pegawai Kedutaan Malaysia kira-kira pukul 6 petang semalam, saya dan isteri terus mengemas barangan kami. Ada beberapa lagi yang akan saya kemaskan pagi ini.

“Saya difahamkan pegawai Kedutaan Malaysia akan mengambil masa kira-kira 13 hingga 15 jam untuk tiba di sini kerana jarak dari Beijing ke Wuhan kira-kira 1,200 kilometer dan mereka pula menggunakan jalan darat,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI, pada Ahad.

BACA: Koronavirus: Kedutaan Malaysia di Beijing hantar pasukan ke Wuhan

Jelas Balachandar, bekalan makanan mereka sekeluarga di Wuhan ketika ini masih mencukupi kerana telah membeli beberapa barangan seperti makanan dalam tin sebelum sambutan Tahun Baharu Cina, iaitu 10 hari lalu.

“Saya juga keluar ke pasar membeli sayur-sayuran dan menggunakan bekalan makanan seperti tepung serta ikan bilis yang dikirimkan oleh keluarga mentua,” katanya.

Tambah Balanchandar, jika penerbangan pulang dari China dijadualkan malam ini, dijangka dia sekeluarga dan beberapa rakyat Malaysia lain akan tiba di tanah air pada pagi Isnin.

“Selesai sahaja proses dokumentasi dengan pihak berkuasa di Malaysia, saya akan pulang ke rumah keluarga saya di Sabak Bernam, Selangor terlebih dahulu sebelum ke rumah mentua di Simpang Empat, Hutan Lintang, Perak,” katanya.

Sementara itu, Ivan Yeo yang menuntut di universiti sama memberitahu, beliau difahamkan pegawai Kedutaan Malaysia di China akan bertemu dengan rakyat Malaysia di Wuhan dan membawa mereka ke lapangan terbang sama ada hari ini atau esok.

“Buat masa ini, kesihatan saya berada dalam keadaan baik sebab saya tidak keluar dari bilik sejak 22 Januari lalu, iaitu kira-kira dua minggu.

“Dalam tempoh itu juga saya hanya makan mi segera, dan ia juga hampir habis,” katanya yang berasal dari Bintulu, Sarawak.

Dalam pada itu, seorang lagi pelajar Malaysia di Universiti Sains dan Teknologi Huazhong di Wuhan, Lai Hsiaw Jie, 24 tahun, sangat gembira selepas mengetahui mengenai kebenaran pulang itu.

“Saya tak sabar nak jumpa dengan keluarga sebab sebelum ini saya merancang pulang ke Kedah pada 23 Januari lalu untuk menyambut Tahun Baharu Cina.

“Tetapi disebabkan bandar Wuhan telah ditutup, tiket kapal terbang itu terpaksa dibatalkan dan akhirnya saya menyambut bersama rakan-rakan dan keluarga mereka di sini,” kata pelajar Sarjana Perubatan itu.



[ad_2]
Source link