KUALA LUMPUR: Seramai 34 penduduk Palestin menjadi korban Zionis sejak Selasa lepas iaitu detik mula tentera Israel membunuh komander lapangan Jihad Islam dalam serangan udara.

Ketua Pegawai Eksekutif, Islamic Relief Malaysia, Zairulshahfuddin Zainal Abidin berkata, walaupun ia bukan perkara baharu, jumlah kerugian akibat kerosakan oleh Kementerian Kerja Raya di Gaza kini mencecah sekitar AS$3 juta.

“Setakat 14 November, 34 kematian, sekarang tidak pasti, sementara 109 kecederaan dicatat dengan 47 lelaki, 51 kanak-kanak dan 11 wanita.

“Kita dapati terdapat juga sasaran keluarga yang terbunuh, tetapi paling ramai keluarga al Sawarka iaitu lapan orang sekali yang terbunuh. Kemudian dari jenis kecederaan, 30 peratus kecederaan, atau satu dari tiga kecederaan adalah parah.

“Lebih menyayat hati, 15 sekolah rosak dan dari itu lima pelajar terbunuh, ia bukan setakat statistik lima terbunuh, kesan psikologi kepada kawan-kawan lain juga sangat besar dan berat,” katanya semasa dihubungi Astro AWANI pada Sabtu.

BACA: Suhakam kutuk serangan pejabat ICHR di Gaza

BACA: Lancar usaha singkir Israel dari PBB

Sebelum ini, Israel dilaporkan melancarkan serangan baharu di Gaza selepas roket dibedil ke arah wilayah Yahudi itu walaupun gencatan senjata sudah bermula.

Tidak seperti serangan sebelumnya awal minggu ini, tentera berkata, serangan tidak mensasarkan pergerakan pejuang Palestin, Jihad Islam, sebaliknya ditujukan kepada Hamas, yang mentadbir Semenanjung Gaza.

Sebelum ini, Ketua Media Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM), Dr. Sayed Mohammad berkata, masyarakat dunia digesa supaya terus memberikan sokongan terhadap rakyat Palestin susulan serangan terbaharu yang dilakukan rejim Israel sehingga mengorbankan sekurang-kurangnya 32 penduduk Palestin dalam tempoh 48 jam.

Tegasnya, kekejaman yang menimpa rakyat Palestin bukan isu baharu, malah ia sudah berlarutan lebih sedekad.





Source link