TUMPAT: Sultan Kelantan Sultan Muhammad V bertitah menyeru agar semua pihak menghayati dan meneladani konsep ‘Rahmah’ dalam konteks kehidupan masyarakat majmuk pada Sabtu.

Baginda bertitah sikap ‘Rahmah’ juga harus diterapkan dalam semua elemen kehidupan merangkumi kebajikan rakyat berbilang kaum, pembelaan golongan wanita, kanak-kanak, warga emas, golongan fakir dan miskin, anak yatim, mualaf, orang kelainan upaya (OKU), para pesakit dan dhuafa’ sehinggalah kepada penjagaan flora dan fauna serta alam semula jadi.

“Tema sambutan Hijratul Rasul (Maal Hijrah) bagi tahun ini adalah ‘Negara Rahmah, Ummah Sejahtera’. Selari dengan keadaan dan situasi semasa. Tema ini sangat bertepatan dengan aspirasi dan gelombang kesedaran umat Islam di negeri ini khasnya berkaitan isu-isu kemanusiaan, kemasyarakatan dan kenegaraan,” tegas baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Majlis Bacaan Doa Sempena Akhir Tahun 1440 Hijrah dan Awal Tahun 1441 Hijrah serta Majlis Sambutan Hijratul Rasul Peringkat Negeri Kelantan 1441 Hijrah/ 2019 Masihi di Masjid Al-Ismaili, Pasir Pekan di sini, pada Sabtu malam.

Hadir sama Tengku Temenggong Kelantan yang juga Yang Di-Pertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Nazran Muhammad dan Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan.

Baginda turut bertitah menyeru agar rakyat membebaskan diri daripada belenggu penjajahan terutama membabitkan pemikiran dan kebudayaan.

“Sempena dengan sambutan kemerdekaan negara pada hari ini, sememangnya kita telah bebas daripada belenggu penjajah sejak 62 tahun lalu tetapi pemikiran dan budaya kita masih dijajah dan kita belum bebas daripada itu.

“Bersempena dengan Majlis Sambutan Hijratul Rasul yang penuh bermakna ini, beta menyeru kepada sekalian yang hadir agar kembali menghayati ajaran Islam, dengan wasilah mencontohi keperibadian, semangat, daya juang dan akhlak Rasulullah S.A.W,” titah baginda.

Pada majlis berkenaan, baginda turut berkenan menyampaikan anugerah Tokoh Hijratul Rasul Peringkat Negeri Kelantan 1441 Hijrah/ 2019 Masihi kepada Muhammad Yunan Mohamood, 74 (ulang: Muhammad Yunan Mohamood).

Muhammad Yunan membawa pulang wang tunai RM10,000, plak dan sijil penghargaan.

— BERNAMA





Source link