[ad_1]

SIBU: Pembinaan Kompleks Sukan Komuniti Azman Hashim bernilai RM14 juta di Sibu Jaya mampu membantu Sarawak melahirkan jaguh sukan bertaraf dunia seperti ratu terjun negara Pandalela Rinong dari kalangan anak tempatan.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, kompleks sukan itu yang dibina dan didermakan sepenuhnya oleh pengerusi AmCorp Group Tan Sri Azman Hashim melalui Yayasan Azman Hashim dilengkapi dengan pelbagai kemudahan sukan, latihan dan riadah yang termoden.

“Masyarakat di Sibu Jaya ini sangat beruntung akan mempunyai kompleks sukan yang menyediakan kemudahan sukan terkini yang belum lagi terdapat di tempat lain di Sarawak,” katanya pada majlis pecah tanah kompleks itu di bandar baru ini.

Kompleks, yang dijangka siap pada 2021, boleh digunakan oleh masyarakat di Sibu Jaya untuk beriadah dan bersenam terutamanya dalam kalangan golongan muda bagi mengelakkan diserang penyakit jantung, diabetes dan penyakit tidak berjangkit yang lain.

Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri bersetuju memperuntukan tapak tanah bagi membina kompleks sukan itu di samping semua kos pembinaan ditanggung oleh Tan Sri Azman Hashim.

Terdahulu Tan Sri Azman dalam ucapannya berkata, dengan adanya kompleks sukan itu ia akan memberi manfaat kepada 32,000 penduduk Sibu Jaya.

Pelabur, yang aset bersihnya dianggarkan oleh Forbes berjumlah USD600 juta, yang juga orang kesembilan terkaya di Malaysia itu melahirkan harapan pusat sukan itu akan menggalakkan generasi muda dan masyarakat Sibu Jaya menikmati gaya hidup sihat selain melahirkan ahli-ahli sukan negara suatu ketika kelak.

— BERNAMA



[ad_2]
Source link