MESEJ Krismas daripada Jurgen Klopp kali ini ternyata lain sekali daripada yang sebelum-sebelumnya.

Sambil berulang kali mengatakan dia bukan jenis yang gemar merenung ke belakang kepada peristiwa lalu, namun pengurus Liverpool itu juga manusia biasa yang mudah terbuai-buai oleh sesuatu yang indah.

Laman uk.sports.yahoo.com berkongsi bagaimana jurulatih berbangsa Jerman itu menyorot pencapaian pasukannya sepanjang 2019 dengan hanya satu perkataan: “Wow”.

Skuad The Reds itu ditabalkan Raja Eropah buat kali keenam hasil kemenangan 2-0 ke atas lawan domestik, Tottenham Hotspur, dalam final Liga Juara-Juara UEFA (UCL) di Wanda Metropolitano, Madrid, 1 Jun lalu.

Jurgen Klopp meraikan kejayaan pasukannya memenangi trofi Piala Dunia Kelab selepas perlawanan antara Liverpool dan Flamengo di Khalifa International Stadium, Doha, 21 Dis, 2019. REUTERS

Perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) 2018-19 pula menyaksikan Liverpool terlepasnya dengan perbezaan hanya satu mata dengan Manchester City tapi anak buah Klopp itu kini berkelebihan 10 mata di puncak liga dan memiliki satu perlawanan dalam tangan sambil mereka berkira-kira untuk unggul kali ini.

Liverpool turut menambah Piala Super UEFA dan Piala Dunia Kelab FIFA dalam koleksi mereka di bawah bimbingan Klopp – yang di sebalik bertegas bahawa dia bukan seorang yang gemar merenung ke belakang – menyorot tempoh 12 bulan yang membanggakan dengan menyifatkan pemain-pemainya “raksasa mentaliti”.

“Ia secara alamiah adalah satu tempoh untuk menyorot satu tahun menakjubkan buat pemain-pemain ini, kelab ini, dan tentunya penyokong kami,” tulis Klopp dalam ucapan Krismasnya di laman rasmi kelab itu.

“Saya fikir anda sudah cukup mengenali saya, saya bukanlah jenis yang gemar memandang ke belakang, tidak ketika masih ada kerja yang perlu dilakukan.

“Tapi bagaimana saya boleh tidak mengendahkan apa yang kami semua alami tahun ini?

“Saya hanya ada satu perkataan untuknya: Wow.

“Saya sangat bangga dengan banyak perkara, pertamanya untuk semua orang yang memiliki peluang meraikan Liverpool sebagai pemenang trofi sekali lagi.

“Untuk sepanjang hayat saya, saya tidak akan lupakan malam itu di Madrid dan keesokannya di Liverpool sambil kami membawa pulang trofi UCL.

“Saya masih ingat saya pernah berkata bandaraya ini (Liverpool) akan ‘meledak’ apabila kami memenangi trofi tapi saya mungkin telah memandang rendah kepadanya sedikit.

“Semua pemandangan itu… Saya tidak dapat memikirkannya sekarang tanpa membuat bulu roma saya berdiri.

“Hari itu, anda membuat kami mengharungi semua jenis emosi dan apabila saya bertentang mata dengan orang ramai dari atas bas, ia mengukuhkan apa yang saya tahu sejak 8 Oktober 2015 – saya adalah lelaki paling bertuah untuk menjadi sebahagian kelab ini, sebahagian keluarga istimewa ini.

“Hakikat bahawa kami juga dapat menyusuli kejayaan UCL dengan dua lagi trofi — Piala Super dan Piala Dunia Kelab FIFA — di samping minggu demi minggu dalam Liga Perdana, menceritakan segala-galanya mengenai pemain-pemain ini.

“Secara serius, saya tidak mungkin lebih bangga dengan menjadi pengurus pemain-pemain ini.
“Saya telah menggelar mereka ‘raksasa mentaliti’ pada detik berbeza sepanjang 2019 kerana mereka terus menghasilkan (kemenangan) tanpa mengira apa keadaannya.

“Sudah tentu ini tidak mungkin lebih baik daripada malam kami menentang  Barcelona di Anfield apabila mereka memberikan lebih daripada 100 peratus, mereka mengerah diri mereka sehabis maksimum dan menghasilkan sesuatu yang istimewa.”





Source link