[ad_1]

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terus giat melakukan persiapan di pintu masuk antarabangsa (PMA) dalam menangani kejadian jangkitan wabak novel koronavirus.

Ia termasuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LIA) dan Pelabuhan Jeti Kuah, Pulau Langkawi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata setakat 31 Januari lalu, sejumlah 9,621 penumpang dan anak kapal dari pelbagai destinasi antarabangsa tiba melalui dua PMA tersebut.

“Terdapat empat lagi PMA di Kedah termasuk di Bukit Kayu Hitam dan Pelabuhan Dermaga Tanjung Lembung sedang bersiap siaga berdepan menularan wabak tersebut.

“Terkini, kesemua penerbangan terus (direct flight) komersial antara negara China dan Pulau Langkawi telah digantung perkhidmatannya buat sementara waktu oleh syarikat penerbangan yang terlibat,” demikian katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Koronavirus ragut lebih 300 nyawa

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham menambah kesemua PMA di negara ini telah memperkukuhkan aktiviti saringan kesihatan sejak awal Januari lalu.

Jelasnya, kerjasama yang baik di antara KKM dengan agensi-agensi berkaitan membolehkan pengesanan pantas pengembara yang bergejala.

Justeru, beliau menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan termasuk staf pembersihan yang bersiap sedia melaksanakan tugas.

Sebelum itu, Dr Noor Hisham berkesempatan meninjau sendiri langkah kesiapsiagaan KKM di PMA LIA dan Pelabuhan Jeti Kuah, Pulau Langkawi.

Selain daripada dua PMA ini, terdapat empat lagi PMA di negeri Kedah iaitu Bukit Kayu Hitam, Pelabuhan Dermaga Tanjung Lembung, Pelabuhan Telaga Harbour Park dan Kota Putra, Durian Burung.



[ad_2]
Source link