[ad_1]

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih menunggu keputusan ujian makmal ke atas tiga warga China yang sedang dikuarantin di Langkawi dan  Bintulu.

Menteri Kesihatan, Datuk Dr Dzulkefly Ahmad berkata, setakat ini kekal empat kes mangsa disahkan positif koronavirus dan kesemua pesakit dari China itu sedang dirawat di dua buah hospital.

Beliau juga menjelaskan, tiga kes yang masih menunggu ujian makmal itu merupakan yang direkodkan sehingga pukul 12 tengah hari Selasa.

“Seorang daripadanya dikuarantinkan di Hospital Bintulu, Sarawak dan dua lagi di Hospital Langkawi sementara menunggu keputusan makmal,” katanya.

Dr Dzulkefly berkata ujian makmal ke atas tujuh daripada sepuluh kes disyaki dijangkiti koronavirus disahkan negatif.

Katanya, tiga kes yang mempunyai hubungan keluarga dengan satu kes di Singapura yang disahkan positif koronavirus masih dikuarantin dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, lima kes disyaki koronavirus seperti dilapor semalam juga telah disahkan negatif.

“Sebelum ini mereka dikuarantinkan di Hospital Bintulu, Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Langkawi,” katanya.

Menurut Dzulkefly, jumlah kumulatif kes Pesakit-Di Bawah-Pengawasan (PUI) jangkitan 2019 novel koronavirus (2019-nCoV) adalah 65 kes, melibatkan 34 adalah warganegara Malaysia, 30 warganegara China dan seorang warganegara Jordan.

“Daripada jumlah 65 kes PUI ini, terdapat satu kes yang positif 2019-nCoV sebagaimana yang telah dimaklumkan sebelum ini. Sementara itu, sebanyak 61 kes PUI adalah negatif (34 warganegara Malaysia, 26 warganegara China dan satu warganegara Jordon),” katanya.

Sementara itu, mengulas lanjut pertemuan antara Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Dzulkefly berkata, pihaknya telah menggesa penggiat industri pelancongan agar turut sama memainkan peranan dalam membendung penularan wabak koronavirus.



[ad_2]
Source link