GOMBAK: Jika sebelum ini, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin tidak bersetuju dengan jalinan kerjasama antara parti UMNO dan Pas, namun kini, beliau berubah pendirian.

Bekas Ketua Pemuda UMNO itu mengakui, kerjasama dua parti Melayu itu meninggalkan kesan dalam landskap politik negara.

Portal berita Sinar Harian melaporkan, Khairy turut berpendapat, politik berasaskan kaum dilihat lebih dekat di hati rakyat.

“Saya berada dalam UMNO sudah lama, tetapi apabila Pas menjalin kerjasama dengan UMNO, baru saya merasai lebih kesan itu.

“Saya ditolak (oleh ramai ahli UMNO) kerana tidak bersetuju dengan dengan politik identiti.

“Kini apabila UMNO bekerjasama dengan Pas, kita dapat rasakan inilah formula untuk menang, malah majoriti pengundi Melayu dan Islam akan berpegang kepadanya,” kata Khairy merujuk tiga pilihan raya kecil (PRK) yang dimenangi Barisan Nasional (BN) selepas 9 Mei 2018.

Beliau berkata demikian pada Seminar Pasca PRU14: Implikasi kepada PRU15 yang berlangsung di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) hari ini.

Menurut Sinar Harian lagi, Khairy juga berkata, politik Malaysia pada masa ini lebih cenderung kepada politik berasaskan kaum.

Kecenderungan itu, kata beliau, dilihat sebagai jalan terbaik untuk sesebuah parti menang dalam pilihan raya dan memerintah negara.

Bahkan, menurut bekas Menteri Belia dan Sukan itu, beberapa siri pilihan raya umum (PRU) akan datang bakal bersandarkan pola politik berasaskan kaum, sama ada rakyat suka atau tidak.

BN meraih tiga kemenangan dalam PRK selepas PRU14 iaitu kerusi Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau.

Kejayaan BN di ketiga-tiga kerusi itu, kata Khairy juga, telah mempercepatkan ‘perkahwinan’ UMNO dan Pas.

“Kemenangan ini berlaku kerana identiti politik kaum. Bagaimanapun, harus diingat kemenangan PRK selepas PRU14 bukanlah cerminan kepada pilihan rakyat pada PRU15,” tegas beliau lagi.

Khairy turut berkata, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga percaya dengan politik berasaskan kaum di mana beliau menubuhkan Bersatu yang tidak jauh bezanya dengan UMNO berasaskan Melayu dan Islam.

“Berbeza dengan Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang berani menubuhkan parti pelbagai kaum (PKR) dan hal ini akan menyebabkan Anwar kurang sokongan orang Melayu.

“Jika Anwar ambil alih jawatan Perdana Menteri, ia akan mengukuhkan hubungan antara kaum tetapi kita dapat lihat UMNO dan Pas akan menyerangnya,” ujar Khairy lagi.





Source link