BEBERAPA syarikat ternama di China mengambil langkah beri warga kerja cuti panjang atau ‘tutup kedai’ sementara bagi mengurangkan bahaya penularan koronavirus yang sedang melanda.

Pelbagai acara yang sudah diatur, apabila satu negara China pulang semula setelah selesai lebih seminggu bercuti menyambut tahun baharu, turut dibatal.

Kerajaan China sendiri mengambil keputusan memanjangkan cuti sambutan Tahun Baharu Cina – ditambah tiga hari hingga ke 2 Februari.

Kota Wuhan, ibu kota wilayah Hubei sudah berupa ‘bandar hantu’ setelah perkhidmatan sistem pengangkutan dihentikan – menyebabkan mereka tinggal terkurung dan tiada pengunjung yang diundang.

Rangkaian restoran makanan rebusan Haidilao mengambil keputusan menghentikan operasi dari Ahad (26 Januari) hingga ke Jumaat (31 Januari).

Sementara itu, syarikat permainan dalam talian, Tencent, dan firma media sosial, ByteDance, mengeluarkan arahan bagi pekerjanya melakukan tugasan dari rumah.

Syarikat e-perdagangan Pinduoduo, kumpulan perbankan UBS Group AG dan syarikat perumahan Country Garden turut menasihati pekerja yang merancang mahu pulang ke Wuhan agar ‘kuarantin’ diri di rumah masing-masing.

Pihak berkuasa tempatan juga bertindak membatal sebarang acara sambutan perayaan melibatkan perhimpunan orang ramai.

Kerajaan tempatan Shanghai turut mengeluarkan arahan menghalang syarikat memulakan semula operasi sebelum 9 Februari. Larangan ini tidak melibatkan syarikat pembekal peralatan perubatan dan farmasi.

Sekolah pula menambah cuti dan hanya akan dibuka semula pada 14 Februari.





Source link