KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Hoki Kedah (KHA), Mohd Asmirul Anuar berkata hanya satu sahaja borang pencalonan untuk pemilihan ahli jawatankuasa Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dikeluarkan secara rasmi oleh persatuan itu.

Berikutan kontroversi mengenai dua borang pencalonan dari KHA, Mohd Asmirul menegaskan bahawa beliau tidak pernah menurunkan kuasa kepada mana-mana pihak untuk mewakilinya dalam urusan surat-menyurat persatuan.

Menerusi surat yang dihantar kepada KHM dan Pesuruhjaya Sukan Malaysia pada Ahad, Mohd Asmirul menzahirkan rasa dukacita dengan tuduhan palsu yang dilemparkan kepada pihaknya selepas KHM memaklumkan senarai calon yang layak bertanding pada mesyuarat agung tahunan (AGM) KHM, Sabtu ini.

“Saya bagi pihak KHA, mengesahkan sekali lagi bahawa hanya satu borang pencalonan adalah sah, iaitu yang dihantar pada 24 Okt. Selepas pihak KHM memohon pengesahan daripada kami pada 4 Nov, barulah saya mengetahui terdapat penghantaran borang lain yang palsu pada 1 Nov.

“Saya tidak pernah menurun kuasa atau memberi kebenaran kepada mana-mana ahli jawatankuasa saya untuk mewakili KHA dalam urusan surat-menyurat ataupun pengeluaran kenyataan media.

“Ini amat salah dari segi perwakilan sesebuah organisasi, saya akan memastikan tindakan sewajarnya diambil kepada semua pihak yang telah memburukkan nama KHA serta negeri Kedah secara keseluruhan,” menurut surat itu.

Pada sidang media pagi semalam, Pengerusi Jawatankuasa Perundangan KHM, Jadadish Chandra Bipin Chandra berkata pihaknya menerima dua borang pencalonan, iaitu yang pertama ditandatangani oleh Mohd Asmirul (24 Okt) yang mencalonkan Datuk Seri Subahan Kamal untuk jawatan presiden dan Prof Datuk Dr S Shamala bagi jawatan timbalan presiden wanita.

Borang kedua pula diterima pada 1 Nov yang ditandatangani oleh setiausahanya, Sandra Gesan yang mencadangkan Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia Bhd, Datuk Kamarudin Meranun untuk jawatan presiden dan K Maheswari untuk timbalan presiden wanita.

BACA: Subahan Kamal, S. Shamala sahkan akan bertanding pertahan jawatan MHC 

BACA: Subahan ‘U-turn’ 

Kamarudin gagal mencabar penyandang, Subahan, bagi jawatan nombor satu kerana kurang satu pencalonan daripada minimum tiga pencalonan untuk bertanding bagi jawatan presiden, sekaligus Subahan yang menerima 13 pencalonan mengekalkan jawatannya dengan menang tanpa bertanding.

Terkini, KHM menerusi kenyataan di laman web rasminya memaklumkan bahawa Jadadish telah mengemukakan surat tuntutan ke atas sebuah akhbar tempatan kerana menerbitkan artikel yang tidak benar pada Jumaat lalu, bertajuk “Tangan Ghaib Padam Dua Nama.”

Surat tuntutan juga dikeluarkan kepada wartawan yang menulis artikel itu dan Timbalan Presiden KHA, S Satish Kumar yang memberikan komen di dalam artikel yang sama kerana membuat pertuduhan wujudnya “tangan ghaib” telah menukar borang pencalonan itu.

Dalam pada itu, Subahan turut kesal dengan terbitan artikel berkenaan kerana menggunakan nama Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah yang dikatakan salah seorang mangsa, apabila namanya ditukar dalam pencalonan pemilihan ahli jawatankuasa KHM bagi penggal 2019-2023.

“Saya begitu kesal dan terkilan kerana ada pihak tidak bertanggungjawab turut menggunakan nama Tengku Hassanal kerana kami di KHM memberikan sokongan sepenuhnya kepada Tengku Hassanal untuk menyertai keluarga KHM sebagai timbalan presiden.

— BERNAMA





Source link